Jenazah Megat Ashman dikebumi Khamis atau Jumaat

Jenazah Megat Ashman dikebumi Khamis atau Jumaat

MEGAT ASHMAN AQIF MEGAT IRMAN JEFNI akan dikebumikan di New Zealand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelajar Malaysia di New Zealand yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, dijangka dikebumikan di negara itu pada Khamis atau Jumaat ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapa pelajar itu, Megat Irman Jefni yang kini berada di New Zealand berkata, dia sudah melihat keadaan jenazah anaknya di hospital di Christchurch semalam.

“Ya saya sudah melihat kea­daan jenazah anak saya di hospital di Christchurch sebaik sahaja tiba di New Zealand semalam.

“Bedah siasat akan dilakukan esok (Rabu) dan pengebumian dijangka paling awal pada Khamis dan paling lewat pada Jumaat.

“Untuk urusan pengebumian, ia tidak dapat dilakukan semalam (kelmarin) kerana hari cuti umum di sini (New Zealand).

“Lagipun semalam sudah lewat (petang), jadi kemungkinan jenazah akan dikebumikan dalam masa terdekat, mungkin pada Khamis atau Jumaat ini dikebumikan, bergantung kepada urusan di sini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, dia juga sedang menunggu ketibaan emak Allahyarham anaknya, iaitu Noor Aishah Abdul Latif yang setakat hari ini belum sampai.

MENUNGGU

“Ibu arwah masih me­nunggu untuk penerbangan dari Kuala Lumpur petang ini. Dia dijangka tiba ke sini esok (hari ini).

“Saya harap kami semua termasuk adik beradik arwah dapat berkumpul untuk pengebumian, InsyaAllah pada Khamis atau Jumaat ini,” katanya.

Megat Irman Jefni berkata, mereka sekeluarga setuju jenazah Megat Ashman Aqif dikebumikan di New Zealand kerana lebih mudah berban­ding proses yang sukar dan panjang jika jenazah dibawa balik untuk dikebumikan di negara ini.

“Masalahnya kalau nak bawa balik ke Malaysia, pro­sesnya mengambil masa sete­ngah bulan atau sehingga 20 hari. Ini sudah tentu merumitkan dan kasihan terhadap jenazah.

“Sebab itu kami sepakat jenazah dikebumikan di sini (New Zealand) lebih mudah prosesnya,” katanya.

Megat Irman Jefni mengakui sebak apabila jenazah anaknya itu dikebumikan jauh dari tempat kelahirannya.

“Tipu jika saya kata tak pilu apabila jenazah anak saya dikebumikan di negara orang, dia umpama keseorangan di negara orang tapi saya reda dengan ketetapan ini,” katanya.

Selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 1.45 petang waktu tempatan kelmarin.

Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari University of Canterbury serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×