Pemain Perlis United toreh getah sara hidup

Pemain Perlis United toreh getah sara hidup

SEKUMPULAN bekas pemain Perlis United yang menuntut tunggakan gaji dua bulan ketika ditemui di Arau, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masalah tunggakan gaji skuad Perlis United FC (PUFC) memaksa beberapa pemainnya melakukan pelbagai kerja termasuk menoreh getah untuk menyara hidup.

Sadam Hashim, 32, antara penyerang cukup prolifik yang mencetak banyak gol ketika beraksi bersama PUFC dalam saingan Liga M3 musim lalu kini mencari rezeki sebagai penoreh getah.

Dia menoreh getah dengan pendapatan RM40 sehari selepas tidak lagi beraksi bersama pasukan itu dan masih mempunyai tunggakan dua bulan gaji tidak dilunaskan pengurusan.

Nasib sama turut menimpa 23 lagi pemain Perlis United yang terpaksa melakukan pelbagai kerja antaranya bekerja sendiri, berniaga dan penghantar barang bagi menyara hidup.

Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, mereka sangat berharap agar pengurusan Perlis United bertanggungjawab dan bukan lepas tangan dengan menyelesaikan tunggakan gaji bulan Oktober dan November tahun lalu yang kini sudah memasuki enam bulan.

Sadam berkata, sejak enam bulan lalu selepas tidak lagi dibayar gaji, dia bangun seawal pagi bagi mencari rezeki dengan menoreh getah di sebuah kebun di Felda Chuping.

Katanya, meskipun masih mempunyai minat beraksi, namun harapan itu seolah terkubur melihat kepada keadaan PUFC yang belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Ujar bapa kepada dua orang anak berusia lima dan dua tahun itu, meskipun mendapat tawaran pasukan luar, dia terpaksa menolak untuk kekal berada di sini bagi menjaga ibunya di kampung.

“Kalau tak toreh getah hendak makan apa. Kami sangat berharap dan menuntut agar pengurusan Perlis United bertanggungjawab dapat menyelesaikan tunggakan gaji selewat-lewatnya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Tunggakan gaji saya sekitar RM6,000 dan jika dapat dilunaskan ia dapat meringankan sedikit beban dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” luahnya ketika ditemui bersama sembilan lagi pemain Perlis United yang turut berdepan masalah tunggakan gaji tersebut di sini, semalam.

Bagi Wan Zulhilmi Wan Mustaffa, 30, sebelum ini, dia bergantung sepenuhnya pendapatan dengan bola sepak tetapi sekarang terpaksa berniaga sendiri bagi mencari rezeki.

Katanya, tunggakan gajinya sekitar RM4,000 dengan keseluruhan 23 pemain termasuk pengurusan pasukan dianggarkan sebanyak RM150,000.

“Apabila kami minta tunggakan gaji, alasan yang sering diberikan tunggu penaja, kerajaan negeri dan alasan sama terus diberikan. Sekarang terus lepas tangan apabila panggilan atau mesej langsung tidak berjawab,” katanya.

Penjaga gol Perlis United, Hairol Fazren Abu Hassan,36, pula terpaksa bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan sekitar RM1,000 bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan tiga anak.

“Kami sangat berharap agar pengurusan Perlis United dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain ini,” katanya yang juga pernah beraksi bersama pasukan PJ City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×