Perniagaan katering bantu pelajar Malaysia sara hidup di Turkiye

Perniagaan katering bantu pelajar Malaysia sara hidup di Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOS sara hidup tinggi mendorong seorang pelajar Malaysia di Istanbul, Turkiye bekerja sampingan dengan
melakukan perkhidmatan katering secara kecil-kecilan.

Sepanjang lima tahun terlibat dalam perniagaan itu, Nur Khalida Osman, 37, turut berpeluang memasak untuk ramai orang kenamaan termasuk kerabat dan menteri.

Paling istimewa apabila air tangannya dinikmati Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika baginda melawat ke negara berkenaan, tahun lalu.

Lulusan Ijazah Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Fatih Sultan Mehmet ini berkata, waktu itu, juadah yang disediakan buat santapan baginda ialah nasi ayam.

“Tengku Ampuan Pahang pandai memasak dan sedikit sebanyak buat saya gementar untuk menyiapkan hidangan
itu.

“Saya sentiasa berhati-hati dan tidak henti berselawat dan berdoa agar juadah enak untuk santapan baginda bersama 13 delegasi yang tiba ke Turkiye,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru
ini.

Selama seminggu makanan disediakan buat delegasi Tengku Ampuan Pahang dan antara menu yang turut dihasilkan ialah nasi kerabu.

Kenamaan lain yang pernah menikmati masakannya ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Ujar Nur Khalida, Ismail Sabri turut memuji kesungguhannya mencari wang sampingan dengan memasak di negara orang dalam kesibukan bergelar pelajar.

Penglibatan Nur Khalida dalam perniagaan katering yang dikenali sebagai Omurga Nusantara itu, bermula tiga bulan selepas beliau menjejakkan kaki ke Turkiye, pada September 2019, dengan menu roti canai sejuk beku.

“Saya menyediakan perkhidmatan katering kecil-kecilan untuk persatuan pelajar.

“Ketika Covid-19 melanda, ramai pelajar balik ke tanah air tetapi saya kekal di Istanbul kerana
mengambil kira faktor kewangan untuk kembali semula ke sini.

“Untuk kelangsungan hidup, saya teruskan membuat katering dan lama-kelamaan ia makin dikenali ramai hinggakan dipilih pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Turkiye untuk menyediakan makanan buat tetamu kehormat,” katanya yang menjelaskan aktiviti memasak pernah dilakukan ketika menuntut di Sudan sebelum ini, tetapi tidak begitu meluas seperti sekarang.

Memasak untuk kenamaan ada perbezaannya kerana perlu mengambil kira faktor-faktor alahan dan sebagainya.

“Ada kenamaan yang tidak boleh makan kacang, tepung dan kulit ayam, maka perkara-perkara itu perlu diberikan perhatian serius,” katanya.

Walaupun pengajiannya tamat sejak November tahun lalu, namun anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini masih meneruskan kerjaya berkenaan dengan dibantu adiknya, Siti Nafisah, 23, yang menuntut di universiti sama.

Nur Khalida kini dalam proses permohonan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

“Melakukan kerja sampingan sudah dianggap sebagai satu keperluan terutama bagi pelajar luar negara yang tidak mendapat tajaan pengajian.

“Kos hidup di Istanbul amat tinggi lebih-lebih lagi sejak dilanda inflasi kerana serba-serbi harga naik melambung.

“Jika pada 2019, kos hidup cuma RM350 hingga RM450 sebulan tetapi kini ia melonjak ke RM750 hingga RM1,000, kesannya sangat ketara,” katanya yang turut melakukan urusniaga kargo Malaysia-Turkiye di samping menjadi pemandu pelancong.

Menerusi ketiga-tiga perniagaan itu, membolehkannya meraih pendapatan bersih kira-kira RM1,500 sebulan.


Jadi pilihan komuniti setempat, pelancong
Selain Konsulat Jeneral Malaysia di Turkiye, pelanggannya turut terdiri daripada komuniti Malaysia dan Singapura di negara itu di samping pelajar serta pelancong.

Nur Khalida berkata, terbaharu lauk ayam masak merahnya turut ditempah persatuan pelajar Uighur.

“Saya pun pelik menu Malaysia itu yang jadi pilihan mereka, barangkali ahli persatuan itu pernah menikmati ayam masak merah, sebelum ini.

“Saya juga ada pelanggan daripada orang Turkiye yang menempah mi goreng misalnya kerana rindukan hidangan tempatan kita,” katanya.

Kongsinya, sebelum ini ada juga pelancong dari Malaysia menempah laksa untuk dimakan bersama keluarga sebaik sahaja tiba di negara itu.

Antara kesemua makanan yang pernah dihasilkan, sate disifatkan sebagai paling sukar untuk dibuat.

“Pertama kali saya masaknya adalah ketika Hari Raya Aidiladha lalu dan walaupun tiada pengalaman, saya sahut cabaran tersebut dan berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.


Ambil resipi Internet
Bukan semua menu handal dimasaknya, namun Nur Khalida cuba menghasilkan juadah terbaik untuk pelanggan.

Antara yang baharu dipelajari ialah nasi kerabu.

“Walau sesusah mana pun menu itu, saya tidak pernah menolak untuk membuatnya melainkan jika tiada sumber barangan atau kekangan kelas. Ada resipi saya rujuk di internet tentang
cara pembuatannya,” katanya yang mewarisi bakat memasak daripada ibu bapa yang pernah menjalankan perniagaan katering suatu ketika dahulu.

Nur Khalida berkata, jika tempahan banyak, dia turut memanggil rakan-rakan dari universiti sama untuk membantu.

“Ramadan ini Omurga Nusantara turut menerima tempahan infak daripada orang perseorangan untuk pek makanan,” katanya.

Usai meraih PhD kelak, Nur Khalida berhasrat kembali menjadi guru sekolah menengah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×