MELAKA: Seorang pengusaha taska didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, pada Januari lalu.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Nooraslindah Mohd. Lassim, 45, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah mendedahkannya sehingga mengalami kecederaan fizikal semasa dalam jagaan tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.07 petang di Taska Bonda Seri Mutiara, No. 9921, Jalan Padi Mahsuri 2, Taman Noorbar, Bukit Serindit dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Januari 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan hukuman berat berbentuk penjara kerana telah mengabaikan mangsa sedangkan tertuduh diberi amanah untuk menjaganya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda minimum dengan alasan tidak berniat mencederakan mangsa, selain membuka taska untuk membantu suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menambah pendapatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar serta dikenakan bon berkelakuan baik untuk tempoh dua tahun dengan cagaran RM2,000 berserta dua penjamin.
Tertuduh juga dikenakan perintah khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan. – UTUSAN










