WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) melancarkan sekatan terhadap dua Iindividu dan tiga syarikat yang mempunyai kaitan dengan saluran media popular Gaza Now berikutan usaha mengumpul dana untuk menyokong kumpulan pejuang Hamas.
Jabatan Perbendaharaan mendakwa Gaza Now yang mempunyai lebih daripada 1.8 juta pengikut di saluran Telegram popularnya termasuk Pengasasnya, Mustafa Ayash memulakan usaha mengumpul dana untuk Hamas selepas serangan pada 7 Oktober tahun lalu.
Kempen balas dendam Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 32,414 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
“Perbendaharaan AS kekal komited untuk merendahkan keupayaan Hamas membiayai aktivitinya, termasuk melalui kempen pengumpulan dana dalam talian yang bertujuan menyalurkan wang terus kepada kumpulan itu,” kata Setiausaha Risikan Keganasan dan Kewangan, Brian Nelson dalam satu kenyataan.
Jabatan Perbendaharaan menuduh kumpulan itu membantu secara menaja atau memberikan sokongan kewangan, material, teknologi atau perkhidmatan kepada Hamas.
AS juga mendedahkan sekatan terhadap Aozma Sultana, pengarah dua syarikat yang didakwa memberikan ribuan dolar kepada Gaza Now dan mengiklankan saluran media tersebut sebagai rakan kongsi semasa pengumpulan dana bersama sejurus selepas serangan Hamas di Israel.
Tindakan Jabatan Perbendaharaan sedang dijalankan bersama-sama langkah serupa oleh pihak berkuasa UK.
“Kerajaan UK sudah mengumumkan pembekuan aset penuh terhadap dua individu yang disyaki memberikan sokongan kewangan untuk Gaza Now, sebuah agensi berita yang mempromosikan kumpulan Hamas dan Jihad Islam Palestin.
“Semua dana dan sumber ekonomi di UK milik atau dikawal oleh Mustafa dan Aozma turut dibekukan,” kata Perbendaharaan UK dalam satu kenyataan.-AFP










