MENDEPANI kurun ke-21, suatu kenyataan yang tidak dapat dinafikan apabila majoriti rakyat dewasa terpaksa menanam hutang hanya bagi memenuhi keperluan asas.
Keperluan seperti kediaman, hartanah dan kenderaan merupakan antara faktor utama individu terpaksa menandatangani kontrak pembiayaan dengan institusi perbankan. Begitu juga pinjaman peribadi sama ada bagi memulakan perniagaan, persiapan majlis perkahwinan, menyediakan kelengkapan rumah tangga atau tujuan kecemasan.
Pahitnya lagi, kita juga perlu menerima hakikat bahawa terdapat segelintir masyarakat berhempas pulas mengabdikan diri membanting tulang sepanjang hayat, semata-mata bagi melangsaikan hutang.
Apatah lagi apabila jumlah yang perlu dibayar kepada institusi perbankan tersebut meningkat dua atau tiga kali ganda berbanding nilai asal pinjaman dengan tempoh keberhutangan yang panjang.
Justeru, bukanlah suatu perkara asing apabila suami atau isteri mengambil inisiatif berhutang dengan pasangan masing-masing. Pinjaman yang diberikan pula segalanya dilakukan atas dasar kasih sayang dan tolak ansur dengan harapan agar perkahwinan terus utuh, berkembang bahagia seiring kemampanan ekonomi keluarga.
Tekanan
Sesungguhnya tidak semua insan berpeluang menilik indahnya spektrum pelangi seusai hujan. Begitulah juga dengan perkahwinan.
Sepanjang 2018 hingga 2022 statistik merekodkan pemfailan 273,138 kes pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah seluruh Malaysia (kecuali Perak dan Sarawak).
Perincian terhadap kes berkenaan dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini pula mendapati trend peningkatan sebanyak 100,000 kes bagi setiap lima tahun, dengan statistik menunjukkan pembubaran perkahwinan mendominasi hampir 54 peratus daripada keseluruhan kes yang dikendalikan di seluruh negara.
Bagi menggali faktor pembubaran berkenaan, saya telah menjalankan kajian terhadap 669 fail kes di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) dan mendapati bahawa faktor kewangan merupakan punca utama runtuhnya institusi kekeluargaan.
Empat alasan pula dikenalpasti sebagai penyumbang kepada faktor kewangan tersebut iaitu tidak memberi nafkah zahir, gaya hidup berhutang, kewangan belum kukuh dan perbelanjaan melebihi kemampuan.
Kegagalan suami memberi nafkah zahir merupakan penyumbang terbesar (371 kes), diikuti alasan gaya hidup berhutang (30 kes), kewangan belum kukuh (sembilan kes) dan perbelanjaan melebihi kemampuan (empat kes).
Walaupun segelintir pihak menyatakan kadangkala perceraian membuka episod baharu kebahagiaan, namun bagi sebahagian besar masyarakat pula mendakwa sebenarnya perceraian meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan mereka.
Kenyataan ini disokong oleh The Holmes-Rahe Stress Scale yang menetapkan tekanan akibat pembubaran perkahwinan di ranking kedua selepas kematian pasangan.
Justeru, sama ada tekanan kecil atau besar, positif atau negatif, sememangnya perceraian memberikan impak kepada individu yang menghadapinya. Oleh itu, bagi mengelakkan tekanan berganda kepada diri dan pasangan, uruslah hal ehwal hutang piutang dengan baik.
Pengurusan
Allah menerusi ayat 282, surah al-Baqarah bukan hanya memberikan perhatian serius terhadap perihal hutang, namun juga menetapkan tatacara pengurusan hutang, menekankan keperluan dokumentasi, integriti ketika merekodkan hutang, bilangan dan kelayakan saksi serta peringatan agar manusia bertakwa kepada Allah dalam hal ehwal piutang.
Nabi Muhammad menerusi hadis riwayat al-Bukhari pernah bersabda, “Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah akan menunaikannya untuknya. Dan barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah akan membinasakan dirinya.”
Malah, betapa seriusnya perihal hutang piutang ini sehinggakan Nabi juga memperihalkan keadaan ruh penghutang yang ‘tergantung’ sehinggalah hutang tersebut dilunaskan. Apatah lagi apabila pemiutang tidak pernah meredai atau menghalalkan hutang berkenaan.
Pengesahan
Di Mahkamah Syariah, pemiutang berhak untuk memfailkan tuntutan agar pasangannya, bekas suami atau bekas isteri membayar kembali hutangnya berdasarkan seksyen 46, Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993.
Walaubagaimanapun, bagi membolehkan mahkamah mengeluarkan keputusan menyebelahi dirinya, pemiutang hendaklah mengemukakan pembuktian antaranya seperti dokumen yang mengandungi pengakuan penghutang serta rekod pembayaran yang pernah dilakukan (jika ada). Hal yang sama juga perlu dibuktikan di mahkamah sekiranya pemiutang bertindak selaku proksi pinjaman bagi keperluan penghutang.
Kewujudan dua orang saksi lelaki atau kombinasi seorang saksi lelaki bersama dua orang saksi wanita yang menyaksikan atau mengetahui perihal hutang piutang tersebut juga amat penting ketika prosiding perbicaraan di mahkamah.
Bagi penghutang yang telah meninggal dunia, pembahagian harta pusaka hanya boleh dilakukan selepas segala hutang piutang termasuk hutang kepada pasangan dilunaskan.
Parahnya, sekiranya kewujudan hutang atau jumlah hutang tersebut dipertikaikan oleh ahli waris, maka pemiutang hendaklah memfailkan kes dan mendapatkan pengesahan daripada mahkamah terlebih dahulu.
Sehinggalah kes tersebut diputuskan oleh hakim, tiada satu pihak pun dibenarkan untuk mengagihkan harta pusaka berkenaan kepada mana-mana pihak.
Prosiding pengesahan hutang di mahkamah bukanlah selesai dalam tempoh satu hari. Kadangkala mengambil tempoh yang agak panjang terutamanya apabila melibatkan aspek pembuktian, keterangan saksi, kerjasama waris dan kerumitan kes.
Ini boleh mewujudkan suasana tegang kerana seolah-olah menzahirkan sikap pemiutang yang ‘lapar’ harta pusaka berkenaan, sedangkan hutang yang dituntut tersebut merupakan hak dirinya.
Justeru, rancanglah pengurusan harta dan hutang dengan bijaksana. Berhemahlah ketika berbelanja, qona’ahlah dalam bergaya serta sayangilah pasangan yang setia bersama. Usahlah digandakan tekanan emosinya menahan cemuhan dan menyeksa batinnya untuk turun naik ke mahkamah.
Sesungguhnya spektrum pelangi amatlah indah jika mata dan hati diberi peluang untuk menelusurinya. Apatah lagi apabila minda mampu menaakul proses kejadiannya yang menakjubkan menerusi fasa pantulan, biasan serta belauan sinaran mentari yang bersatu dengan titisan hujan! – UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










