KUANTAN: Pihak Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant di Bentong boleh mengemukakan rayuan susulan penutupan parkir restoran berkenaan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada Selasa lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk berbuat demikian, bagaimanapun ia terpulang kepada pihak berkuasa negeri sama ada untuk meluluskan rayuan berkenaan ataupun tidak.
“Rayuan, mohon tanah semua boleh, kita tidak halang warganegara terutama rakyat Pahang untuk membuat rayuan, mohon tanah.
“Kemudian terpulang kepada pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan sama ada meluluskan atau tidak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Petronas di Hotel Grand Darul Makmur di sini semalam.
Wan Rosdy berkata, tidak wujud sebarang sentimen di antara kerajaan Pahang dengan pihak Tanah Aina susulan penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan tersebut.
Tegasnya, tindakan yang diambil bukan perkara baharu dan secara mendadak, sebaliknya ia berdasarkan kepada peraturan ditetapkan.
“Kita sudah beritahu lama dah bukan kata hari ini kita nak ambil tindakan, hari ini terus kita pergi buat tindakan, bukan. Untuk penguatkuasaan, ada peraturan-peraturan tertentu seperti mengeluarkan amaran, notis, dan sebagainya. Oleh sebab mereka ingkar, tidak mematuhi notis dan amaran, jadi kerajaan negeri melalui penguatkuasa terpaksa mengambil tindakan,” katanya.
Sebelum itu, pemilik restoran, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil meminta kerajaan Pahang untuk mempertimbangkan rayuan dan memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan.
Shariffa Sabrina dilaporkan berkata, pihaknya sedia berbincang jika ada melakukan kesalahan, sekali gus menyelesaikan isu yang timbul dengan cara baik.
Pada Selasa, media melaporkan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant sudah diberikan notis peringatan tetapi didakwa masih ingkar, sekali gus mendorong Unit UPNP menutup sepenuhnya laluan masuk parkir yang dibina atas tanah kerajaan. – UTUSAN










