GEORGE TOWN: Sebanyak 18 produk kosmetik dan barangan penjagaan bayi serta kanak-kanak yang dijual di pasaran berisiko menyebabkan penyakit termasuk kanser kepada para penggunanya.
Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim berkata, kesemua produk itu didapati mengandungi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) yang mampu membawa kemudaratan kepada tubuh badan manusia seperti metil paraben; etil paraben (5); propil paraben (10); isobutil paraben (1) dan fenil paraben (1).
Katanya, dapatan itu diperoleh hasil daripada 32 sampul produk yang dihantar oleh CAP ke Korea Selatan untuk dikaji.
KAJIAN
“Keputusan kajian yang dilakukan dengan bantuan Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH) dan sokongan Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), kedua-duanya di Republik Korea amat mengejutkan.
“Sejumlah 32 sampel terdiri daripada cucian tangan, pencuci badan, ubat gigi, deodoran, cecair kumur, cecair pencuci untuk wanita dan tisu bayi telah diuji bagi jumlah paraben bagi mengenalpasti sama ada terdapat EDC di dalamnya.
”Malah kajian juga menunjukkan pencuci badan jenama popular didapati mengandungi metil, etil dan propil paraben yang tinggi. Ia juga didapati mengandungi isobutil dan fenil paraben yang diharamkan oleh Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) sejak 2015,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Mengulas lanjut, beliau percaya terdapat banyak produk kosmetik dan penjagaan diri bayi serta kanak-kanak di negara ini mengandungi EDC, namun pihaknya tidak dapat menghantar lebih banyak sampel kerana pelbagai kekangan seperti masa dan kekurangan tenaga kerja.
Tambah mengejutkan katanya, produk-produk tersebut dikeluarkan oleh syarikat antarabangsa yang popular di negara ini sejak sekian lama.
Untuk rekod, EDC ialah bahan kimia yang mampu meniru, menyekat dan mengganggu hormon dalam sistem endokrin tubuh dalam jangka masa panjang digunakan.
SAMPEL
Mengulas lanjut, Hatijah memberitahu, menerusi kajian yang dijalankan di Korea juga mendapati propil paraben dalam empat sampel tisu bayi, manakala sampel ubat gigi kanak-kanak pula didapati mengandungi butil paraben dan propil paraben.
“Bahan yang tergolong dalam EDC seperti paraben berfungsi sebagai bahan pengawet, disebabkan itu ia banyak digunakan oleh syarikat-syarikat antarabangsa yang menghasilkan ubat gigi, cecair pencuci, tisu kanak-kanak dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, Hatijah berkata, EDC yang terkandung dalam produk-produk kosmetik dan penjagaan bayi serta kanak-kanak ini adalah racun senyap yang boleh membawa pelbagai implikasi buruk kepada kesihatan.
“EDC diketahui mempunyai kesan yang berbeza terhadap jantina yang berbeza, ia boleh menyebabkan gangguan hormon endokrin.
“Sebagai contoh, jika terdedah terlalu lama kepada bahan yang mengandungi EDC, seseorang lelaki boleh berubah menjadi lembut seperti wanita dan wanita boleh berubah perwatakan menjadi lelaki, semuanya adalah berpunca daripada EDC yang mampu mengganggu hormon,” ujarnya.
SPERMA
Selain itu, katanya, antara kesan lain ialah ia mampu menyebabkan kemandulan kepada lelaki dan wanita kerana EDC mengganggu kualiti sperma dan juga boleh mengganggu kitaran haid wanita sehingga menyebabkan ketidaksuburan berlaku.
“Jadi, sekiranya seseorang individu ini terdedah kepada bahan EDC dalam jangka masa panjang, bahan kimia ni akan kitar hormon haid, mengganggu pengeluaran sperma yang berkualiti dan akibatnya lelaki dan wanita tidak lagi subur.
“Selain itu, EDC juga dalam jangka masa panjang meningkatkan risiko penyakit-penyakit berkaitan hormon seperti kanser, masalah kegemukan, diabetes dan lain-lain penyakit kronik,” jelasnya.
Sementara itu, Hatijah menjelaskan, buat masa ini tidak ada undang-undang khusus di negara ini untuk menyekat penggunaan EDC di dalam produk dan penggunaannya juga meluas di seluruh dunia.
“’Disebabkan kesan negatif EDC kepada pengguna, CAP menyeru kerajaan agar menggubal satu akta khusus untuk mengawal penggunaan bahan kimia EDC ini,” katanya. – UTUSAN










