Rakyat Gaza lemas dapatkan bantuan kemanusiaan secara airdrop

Rakyat Gaza lemas dapatkan bantuan kemanusiaan secara airdrop

RAKAMAN yang diperoleh CNN menunjukkan beratus-ratus rakyat Palestin bergegas ke lokasi barang yang dijatuhkan dari udara. – CNN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Seramai 12 rakyat Gaza mati lemas ketika cuba mendapatkan bantuan yang dijatuhkan melalui kapal terbang di pantai Gaza, Selasa lalu, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Video jatuhan udara yang diperoleh Reuters menunjukkan orang ramai berlari ke arah pantai di Beit Lahia di utara Gaza ketika peti de­ngan payung terjun tenggelam ke bawah.

Kemudian kelihatan orang ramai berdiri jauh di dalam air dan ada mayat ditarik ke atas pasir.

CARI RUMPAI, BAKAR ROTI MAKANAN HAIWAN

Insiden berkenaan adalah yang terbaharu dalam rentetan insiden yang melibatkan kematian semasa penghantaran bantuan di kawasan terkepung Palestin yang sesak di mana sesetengah orang mencari rumpai untuk dimakan dan membakar roti yang hampir tidak boleh dimakan daripada makanan haiwan.

Malah, terdapat sekeping kertas yang diambil penduduk da­ripada airdrop Isnin lalu dalam bahasa Arab yang ditulis di atas bendera Amerika Syarikat (AS)bahawa bantuan itu adalah dari AS.

AS AKAN TERUSKAN BANTUAN

Bagaimanapun, di Washington, AS berkata, ia akan meneruskan bantuan untuk Gaza yang dikepung walaupun Hamas merayu untuk menghentikan amalan itu selepas 18 orang maut ketika cuba mencapai bungkusan makanan.

Video yang diperoleh Reuters turut menunjukkan mayat lelaki muda berjanggut yang kelihatan tidak bernyawa diheret ke pantai, matanya terbuka tetapi tidak bergerak dan seorang lelaki lain cuba menyelamatkannya dengan tekanan dada sambil seseorang berkata, ‘ia sudah berakhir.’

ANGGAPAN MATI SYAHID

Seorang lelaki yang berdiri di pantai yang tidak menyatakan namanya berkata, lelaki yang berenang untuk mendapatkan makanan untuk anak-anaknya itu mati syahid.

“Mereka sepatutnya me­nyampaikan bantuan melalui laluan darat. Mengapa mereka melakukan ini kepada kami?,” soalnya.

Agensi bantuan mengatakan hanya kira-kira satu perlima daripada bekalan yang diperlukan memasuki Gaza ketika Israel meneruskan serangan udara dan darat yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Mereka berkata, penghantaran melalui udara atau laut terus ke pantai Gaza yang dikendalikan Hamas bukanlah pengganti kepada peningkatan bekalan yang datang melalui darat melalui Israel atau Mesir.

Hamas bagaimanapun menggesa penamatan airdrop Gaza selepas kematian tragik ber­kenaan sambil menggesa lebih banyak trak bantuan menggunakan laluan darat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa Israel memberikan komitmen kukuh untuk akses bantuan tanpa halangan ke Gaza dan menyifatkan bilangan trak yang disekat di sempadan sebagai keganasan moral.

AGENSI PBB TIDAK CEKAP

Malah, Israel berkata, ia tidak mengehadkan jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza dan mempersalahkan agensi PBB yang dikatakan tidak cekap.

Pengagihan bantuan di dalam Gaza menjadi rumit terutama­nya di utara dan bulan lalu, pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata tentera Israel membunuh lebih 100 orang yang cuba mengambil bantuan daripada konvoi.

Tentera Israel menafikan tindakan itu selain mengatakan semua mangsa yang meluru ke arah konvoi trak bantuan mati dihempap oleh orang ramai.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (UNRWA) , Philippe Lazzarini berkata, tentera Israel juga melarang UNRWA, agensi utama PBB yang bekerja di Gaza yang didakwa bersubahat dengan Hamas daripada menjalankan penghantaran bantuan ke utara.

UNRWA menafikan ia bersu­bahat dengan Hamas dan sedang menunggu hasil siasatan terhadap pengendaliannya terhadap tuduhan itu yang menyebabkan beberapa penderma menghentikan pembiayaan.

Pejabat kemanusiaan PBB turut menggesa Israel untuk membatalkan larangan jelas terhadap bantuan makanan ke utara Gaza oleh UNRWA dengan mengatakan penduduk di sana berdepan kematian kejam akibat kebuluran.

Pengarah komunikasi UNRWA, Juliette Touma berkata, cara terbaik untuk menyampaikan bantuan adalah dengan trak yang dikendalikan oleh agensi bantuan.

“Laporan tragis yang datang dari Gaza ini merupakan satu lagi petunjuk bahawa cara paling cekap, terpantas, paling selamat mencapai orang ramai dengan bantuan kemanusiaan adalah melalui jalan raya dan melalui pertubuhan kemanusiaan termasuk UNRWA. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×