NACCOL mahu penjelasan BPT 'hilang' di pasaran - Utusan Malaysia

NACCOL mahu penjelasan BPT ‘hilang’ di pasaran

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meninjau harga BPI yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mahu pihak kawal selia padi dan beras memberi penjelasan berhubungan isu ketiadaan beras putih tempatan (BPT) di pasaran ketika ini.

Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beberapa lokasi utama di seluruh negara sudah tiada bekalan BPT sejak lebih empat bulan lalu.

Menurut beliau, keadaan itu berbeza dengan pengumuman termasuk daripada Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Syed Abu Hussin Hafiz memberitahu, lebih merunsingkan apabila rakyat terpaksa berhadapan isu harga beras putih import (BPI) yang masih dianggap tinggi menjelang musim perayaan.

“Setiap dua hari pasukan saya meninjau keberadaan BPT di 70 lokasi utama seluruh negara dan menerusi laporan diterima, daripada jumlah itu purata hanya 10 pasar raya ada stok BPT itu pun tidak banyak.

“Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri umum 140,000 tan metrik manakala 22 Mac, Ketua Pengarah bahagian kawal selia padi dan beras pula umum 14 juta kampit BPT akan diedar ke seluruh negara.

“Tetapi sehingga ke hari ini bekalan BPT masih ‘hilang’ di pasaran, jadi kita minta pihak kawal selia padi dan beras jelaskan apa puncanya,” katanya ketika meninjau bekalan beras di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, BPI wajar dikenakan harga siling bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harganya.

Beliau berkata, meskipun berlaku penurunan RM2 sehingga RM3, harga jualan bagi BPI masih tinggi iaitu mencecah antara RM40 sehingga RM60 walaupun jenis beras yang sama.

“Rakyat agak keliru kerana terdapat pelbagai jenama beras import dijual pada harga berbeza sedangkan jenis beras adalah sama, jadi perlu ada (selaras) satu harga agar pengguna tidak terbeban.

“Padiberas Nasional Berhad (Bernas) perlu lihat apakah (keperluan) bagi mengenakan harga siling untuk BPI supaya rakyat boleh membelinya pada harga berpatutan ketika BPT tiada di pasaran.

“Peranan kami di Task Force NACCOL pula adalah untuk memantau keberadaan barangan serta menghalang manipulasi harga daripada pemain industri,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×