Israel sekat UNRWA ke utara Gaza

Israel sekat UNRWA ke utara Gaza

KANAK-KANAK Palestin yang dipindahkan menunggu di hadapan khemah sementara mereka di sebuah kem di Rafah pada 14 Mac lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Talian hayat utama bagi pelarian Palestin, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Barat (UNRWA) dinafikan daripada memberikan bantuan untuk menyelamatkan nyawa ke utara Gaza.

Pesuruhjaya Agungnya, Philippe Lazzarini berkata, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai keterlaluan dengan mengatakan ia dibuat de­ngan sengaja untuk menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan sewaktu kebuluran.

Lazzarini menggariskan keperluan untuk menarik balik larangan ini sambil menambah bahawa UNRWA merupakan tulang belakang tindak balas kemanusiaan di Gaza.

AGENSI BANTUAN TERBESAR

Katanya, ia ialah agensi bantuan terbesar di Gaza dan mempunyai keupayaan terbesar untuk menjangkau masyarakat yang kehilangan tempat tinggal di sana.

“Walaupun tragedi berlaku di bawah pengawasan kami, pihak berkuasa Israel memaklumkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa mereka tidak akan lagi meluluskan sebarang konvoi makanan UNRWA ke utara.

“Ini adalah keterlaluan dan menjadikannya sengaja untuk menghalang bantuan menyelamatkan nyawa semasa kebuluran buatan manusia. Sekatan ini mesti ditarik balik,” tulisnya dalam aplikasi X.

Tambah Lazzarini, dengan menghalang UNRWA untuk memenuhi mandatnya di Gaza, masa akan berjalan lebih cepat menuju kebuluran dan ramai lagi akan mati kelaparan, dehidrasi dan kekurangan tempat berteduh.

“Ini tidak boleh berlaku. Ia hanya akan mencemarkan kemanusiaan kita,” katanya.

TARIK BALIK SEKATAN

Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menyelar perintah baharu Israel itu.

Menurut Ghebreyesus, menyekat UNRWA daripada menghantar makanan sebenarnya menafikan orang yang kelaparan yang mampu untuk terus hidup.

“Keputusan ini mesti segera ditarik balik. Tahap kelaparan adalah akut. Segala usaha untuk menghantar makanan bukan sahaja dibenarkan tetapi perlu ada percepatan penghantaran makanan dengan segera,” jelasnya.

Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Martin Griffiths turut mengulangi mesej itu.

“Saya menggesa Israel untuk menghapuskan semua halangan terhadap bantuan kepada Gaza. Sekarang ini lebih daripada halangan. UNRWA adalah jantung yang berdegup ke atas tindak balas kemanusiaan di Gaza.

“Keputusan untuk menyekat konvoi makanannya ke utara hanya mendorong beribu-ribu lebih dekat kepada kebuluran. Ia mesti dibatalkan,” tulisnya dalam media sosial.

Laporan Klasifikasi Fasa Ke­selamatan Makanan Bersepadu (IPC) di Gaza menyatakan ming­gu lalu bahawa kebuluran akan berlaku di bahagian utara Gaza dan dijangka berlaku antara sekarang dan Mei akan datang yang menempatkan kira-kira 300,000 orang.

Selepas laporan itu dikeluarkan, Setiausaha Agung PBB, António Guterres menyifatkan penemuan itu sebagai dakwaan yang mengerikan terhadap keadaan di lapangan untuk orang awam.

“Rakyat Palestin di Gaza mengalami tahap kelaparan dan penderitaan yang mengerikan. “Ini adalah bencana buatan manusia sepenuhnya dan laporan itu menjelaskan bahawa ia boleh dihentikan,” katanya. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×