PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan mengikut garis panduan sedia ada berhubung kes salah laku seksual melibatkan guru dan murid seperti dilaporkan media semalam.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, kes berkenaan juga dalam perhatian pihaknya dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
Dalam isu tersebut, KPM memandang serius dan tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM.
“Justeru, semua pihak diseru untuk melaporkan kes jenayah seksual supaya tindakan tegas dapat diambil.
“Institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuat kuasa bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid,” katanya hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan isu seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Sepang, Selangor yang didakwa melakukan salah laku seksual terhadap seorang murid lelaki berusia 16 tahun.
Menurut beliau, guru berusia 37 tahun itu didakwa memeluk dan mencium leher murid tingkatan empat di perpustakaan sekolah sehingga meninggalkan kesan kemerahan sekitar Disember tahun lalu.
“Kami menerima satu laporan polis daripada Ibu mangsa berusia 46 tahun yang juga ibu tunggal pada 12 Disember tahun lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah mendapati kejadian itu berlaku pukul 4.30 petang pada tarikh yang dilaporkan.
“Mangsa dikatakan dipeluk dan dicium oleh guru matematik itu. Mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan pada leher,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat.
Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya turut mengesahkan hantaran di media sosial mengenai salah laku seksual guru itu adalah benar dan pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
“Kami ingin menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita tidak benar mengenai kes berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, tular di platform X bahawa seorang guru wanita dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan murid lelaki berusia 17 tahun.
Perkara itu turut didedahkan kakak kepada murid lelaki itu yang mendakwa adiknya sentiasa diganggu oleh guru itu biarpun sudah dipindahkan ke sekolah lain.
Dakwanya lagi, beberapa laporan telah dibuat ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) namun, guru wanita yang juga masih isteri orang dan ibu kepada lima anak itu masih mengganggu murid lelaki itu. – UTUSAN










