HULU TERENGGANU: Seorang wanita maut setelah kereta dipandu adik iparnya terbabas dan terbalik dalam longkang di Kilometer 381.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berdekatan Ajil, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, mangsa, Noor Aizam Mat Zaki, 42, dari Kampung Kedai Buluh, Bukit Payung dekat sini yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, nahas dipercayai berlaku ketika mangsa bersama enam ahli keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kuantan.
“Setibanya di lokasi, kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki yang juga adik ipar mangsa tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan melanggar tebing bukit serta terbalik ke dalam longkang.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya lagi, ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu turut dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN










