Baki 8 hari lagi, hanya 30 peratus daftar PADU - Utusan Malaysia

Baki 8 hari lagi, hanya 30 peratus daftar PADU

Mohd. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih ramai belum mendaftarkan maklumat mereka dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang tempohnya sehingga semalam berbaki lapan hari sebelum ditutup pada 31 Mac.

Setakat semalam jumlah pendaftaran hanya 30 peratus iaitu melibatkan seramai 7.36 juta rakyat yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, rakyat Malaysia perlu segera mendaftarkan maklumat mereka de­ngan PADU sebelum tarikh tutup.

Menurut beliau, sikap tidak mahu ambil tahu atau suka bertangguh menyebabkan masih ramai yang tidak mendaftar PADU.

“Semua pihak yang berkelayakan perlu segera mendaftar PADU sebelum tarikh akhir pada hujung bulan ini.

“Pendaftaran itu penting bagi memastikan mereka tidak tercicir untuk mendapatkan bantuan atau subsidi kerajaan,” kata beliau.

Pendaftaran PADU mula dibuka kepada rakyat sejak 2 Januari lalu.
Setakat ini, penduduk Se­langor direkodkan paling ramai mendaftar PADU iaitu 1.13 juta manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula merekodkan kadar pendaftaran paling sedikit iaitu 0.02 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Uzair berkata, sistem PADU diwujudkan untuk memudahkan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi dengan menyasarkan mereka yang benar-benar layak akan dibantu.

Beliau berkata, selepas ini kerajaan akan mengguna maklumat PADU untuk merangka dasar kumpulan yang layak menerima bantuan.

“Data itu dijadikan panduan untuk kerajaan bagi menambah baik dan memastikan tiada yang tercicir menerima bantuan,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak pautan pendaftaran PADU yang disebarkan menerusi sistem mesej dan aplikasi WhatsApp.

Katanya, semakan itu pen­ting bagi mengelakkan kebocoran maklumat yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jika lihat pautan itu mencurigakan dan tidak meyakinkan, semak dahulu, jangan terus isi.

“Ini penting untuk mengelakkan data digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. PADU juga tidak akan meminta kata laluan bagi nombor akaun rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×