Malaysia tegas mahu pembunuhan di Gaza dihentikan terlebih dahulu - Utusan Malaysia

Malaysia tegas mahu pembunuhan di Gaza dihentikan terlebih dahulu

MOHAMAD Hasan menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan Sempena Ramadan di Masjid Kariah Kampung Siliau, Rantau, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia berpendirian tegas supaya jenayah serta kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan terlebih dahulu sebelum apa sahaja perjanjian damai diambil selepas ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketegasan itu selepas usaha menuntut gencatan senjata dalam perang berterusan Israel di Gaza menerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali lagi menemui kegagalan.

“Malaysia kekal membawa suara tegas sekurang-kurangnya supaya hentikan dahulu pembunuhan ini, itu yang kita mahukan, lain-lain itu, itu cerita lain, berhentikan pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini terhadap kanak-kanak dan wanita.

“Hospital, sekolah, masjid dan gereja dibom dan Rafah kini pula diserang. Apa sahaja perjanjian perdamaian selepas itu sama ada melalui Two State Solution (Penyelesaian Dua Negara) itu perkara kedua, perkara pertama mahu dilihat adalah berhentikan pembunuhan ini yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bakul Makanan Sempena Ramadan di Masjid Kariah Kampung Siliau di Rantau di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bersedia untuk mengundi draf resolusi baharu selepas usaha menuntut gencatan senjata dalam perang berterusan Israel di Gaza gagal.   

Draf resolusi yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) hanya bersifat gesaan semata-mata tetapi tidak menuntut gencatan senjata dalam serangan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin, lapor Al-Jazeera.  

Hal ini berikutan dua anggota tetap UNSC memilih untuk memvetokan keputusan mereka. Draf yang dikemukakan di hadapan badan itu menerima 11 undi menyokong, tiga menentang dari Rusia, China dan Algeria serta satu berkecuali iaitu Guyana.

Dalam masa sama, pejuang Hamas dilaporkan memberi penghargaan susulan tindakan Rusia dan China yang menggunakan kuasa veto untuk membantah draf resolusi gencatan senjata itu.  

Menurut Hamas, draf itu mengandungi ‘kata-kata mengelirukan yang bersubahat’ dengan Israel dan ‘membenarkan perlindungan serta keabsahan untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza’.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×