ANTARA motosikal jenama Ducati dari Itali ini, terdapat dua model yang agak boleh diklasifikasikan sebagai Ducati paling mampu milik. Kedua-dua model ini adalah Ducati Monster dan Ducati Scrambler.
Kedua-dua varian Ducati ini menampilkan motosikal yang mempunyai bantuan penunggangan dan mode enjin secara elektronik, tetapi tidak mempunyai fairings dan juga menggunakan kapasiti kuasa enjin yang lebih rendah.
November lalu, kami ada menyiarkan laporan tunggang uni Ducati Scrambler tetapi varian Full Throttle, iaitu varian yang menampilkan prestasi enjin, elektronik dan kosmetik yang lebih garang.
Jika begitu, apa bezanya varian Icon ini pula? Ayuh kita ikuti laporannya.
RUPA BENTUK FIZIKAL
Sudah pasti, pebezaan yang paling ketara di antara model Icon dan Full Throttle ini adalah skim warnanya. Icon sebelum ini terkenal dengan skim warna perak dan kuning. Namun untuk model yang diperkenalkan pada akhir tahun 2023 lalu, juga turut memberi pilihan varian dalam skim dwi warna perak/merah ducati, perak/kuning dan perak/hitam.
Varian Icon ini adalah sempena model sebenar yang telah diperkenalkan pada tahun 1962 dahulu. Walau mengambil sandaran dari model tersebut, namun seperti varian model Scrambler yang lain, ia tetap mendapat beberapa suntikan baru untuk dinikmati oleh generasi terkini.
Jika diamati, ternyata bar handel Scrambler Icon ini ternyata adalah yang paling lebar berbanding dengan dua lagi varian Ducati Scrambler ini. Handel motosikal ini yang lebih membuat penunggangnya ‘mengepak’ ketika sesi bersamanya, menjanjikan bahawa pengemudiannya terutama pada kelajuan rendah dan permukaan jalan yang berpasir atau berbatu-batu, lebih stabil dan mudah.
Pelananya juga didatangkan dengan balutan atau corak kulit yang berbeza daripada kedua-dua varian Scrambler yang lain. Sebagai makluman, varian Scrambler Icon ini didatangkan dengan perendam bunyi (muffler) yang biasa atau standard kilang, namun unit tunggang uji yang saya terima ini telah pun ditukar ganti dengan tabung perendam bunyi jenama Termignoni, iaitu model yang sama terdapat pada varian Full Throttle.
Pada pandangan fizikalnya, hanya inilah sahaja yang mampu dikesan dari segi perbezaan rupabentuk fizikal yang membezakannya dengan model yang lain.
PENUNGGANGAN
Akibat daripada bar handel yang lebih ‘mengepak’ itu tadi, seperti yang dijangkakan, pengemudian motosikal ini pada permukaan tidak rata, atau permukaan berpasir / off-road, terutama dalam kelajuan rendah, membolehkan Ducati Scrambler Icon ini dikemudi dengan begitu mudah. Sesekali, keperluan untuk menunggang dalam keadaan berdiri juga dirasakan begitu mudah untuk model ini berbanding dengan model Full Throttle. Akan tetapi, ketika penunggangan dalam bandar, anda harus berhati-hati sedikit ketika ‘menciluk’ di antara kenderaan. Banyak kali saya terpaksa memperlahankan motor malah, ada ketika terpaksa berhenti untuk mengelakkan hujung bar tersebut bergeser atau lebih teruk lagi, memecahkan cermin sisi kenderaan dalam kesesakan di bandar.
Akibat dari bar handel yang lebar ini juga, penunggangan dalam kelajuan yang agak tinggi di lebuh raya atau jalan raya persekutuan yang berliku-liku, ia menjadikan Icon ini sedikit bergoyang atau berayun ketika dalam selekoh. Apatah lagi jika pengambilan selekoh tersebut diambil dalam kelajuan yang tinggi seperti 120-130kmj. Jika menginginkan penunggangan ekstrim, anda harus mengendalikannya seperti sebuah scrambler klasik, iaitu harus ‘mengepak’ lengan dan penggunaan badan yang berlawanan dengan arah pembelokan seperti mana-mana penunggang ‘off-road’ sebenar.
Saya juga mendapati, model Icon ini tidak dilengkapi dengan sistem gear Quick Shifter (namun anda berupaya membelinya sebagai aksesori tambahan). Walau sedikit kecewa, namun ia sedikit pun tidak memberi sebarang kepayahan untuk sesi uji atas kawasan luar dari jalanraya bertar.
Walau agak merisaukan pada mulanya, kekurangan-kekurangan ini dapat diatasi dengan sedikit pengubahsuaian cara penunggangan, terutama ketika inginkan mencari prestasi sebenar varian Icon ini.
Saya sangat menyukai sistem suspensinya yang tidak terlalu keras dan juga tidak terlalu lembut pada keadaan penunggangan yang berbagai. Ia cukup lembut untuk melalui bongol-bongol atau permukaan jalan yang tidak rata, tetapi cukup keras untuk membolehkan pengemudian yang selamat dalam kelajuan yang agak tinggi. Cengkaman tayar standard yang dibekalkan, Pirelli MT-60 RS sangat mencengkam dalam apa jua keadaan permukaan.
KESIMPULAN
Ducati Scrambler Icon, sudah tentulah memberikan keyakinan hanya kerana ianya adalah sebagian daripada ‘keluarga’ motosikal Itali yang turut dikenali sebagai ‘The Ferrari of Motorcycles’. Walaupun boleh dikatakan sebagai model pengenalan untuk jenis Ducati Scrambler ini, namun ia bukanlah didatangkan dengan spesifikasi yang rendah.
Meter TFT yang telah diperbaharui, menampilkan ciri-ciri yang sangat moden, seperti keupayaan untuk berhubung dengan alat peranti anda. Membolehkan anda menjawab panggilan telefon dengan alat peranti dan sistem komunikasi anda, serta pemaparan informasi tentang penunggangan dan keadaan mekanikal dan sistem elektronik enjin anda.
Mungkin, tanpa pemasangan tabung ekzos berjenama Termignoni tersebut, hasil tunggang uji saya mungkin akan mengenengahkan keadaan ‘hambar’ dalam sesi-sesi penunggangannya. Namun, kekuatan enjin berkembar jenis L, yang menjadi identiti Ducati, sekali gus mampu menghasilkan kuasa tujahan yang unik dan memberangsangkan. Dibantu pula oleh sistem brek ABS yang berfungsi dalam keadaan mengiring dalam selekoh, turut menambah keyakinan saya untuk mengunggangnya dengan lebih laju dalam selekoh.
Ada ketikanya saya teringin untuk menggelongsor ketika dalam tunggangan di permukaan berpasir, saya boleh memadamkan terus fungsi pengawalan cengkaman secara manual.
Harga pasaran yang ditawarkan oleh Ducati untuk model ini adalah bermula daripada RM65,900 sebelum caj cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Bersempena dengan sambutan Hari Raya yang bakal muncul tak lama lagi ini, Ducati turut mengumumkan promosi waranti kilang selama tiga tahun, bayaran muka yang rendah, rebat sehingga RM10,000, kebolehan tukar-beli (trade in), tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.-UTUSAN










