KOTA KINABALU: Seramai 65 orang tinggal sehelai sepinggang apabila 10 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Likas, awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi, dan 10 rumah terbabit didiami oleh 17 keluarga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.11 pagi dan sepasukan 15 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati 10 buah rumah sedang terbakar.
“BBP Lintas menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki tiga pancutan sumber air dari lori tangki, dan BBP Kota Kinabalu menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki satu pancutan air dari jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










