Israel dakwa bunuh 170 lelaki bersenjata sekitar hospital utama

Israel dakwa bunuh 170 lelaki bersenjata sekitar hospital utama Gaza

ASAP berkepul-kepul semasa serbuan Israel di hospital Al-Shifa dan kawasan sekitarnya, di tengah-tengah konflik berterusan di antara Israel dan kumpulan Hamas, di Kota Gaza, 21 Mac lalu. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertempuran berlaku pada Sabtu lalu di sekitar hospital utama Gaza, Hospital Al-Shifa di mana Israel mengatakan ia setakat ini berjaya membunuh lebih 170 lelaki bersenjata dalam serbuan yang meluas.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan itu turut mengakibatkan kematian lima pesakit. 

Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata, pejuang mereka terlibat dalam pertempuran dengan tentera Israel di luar dan sekitar sekitar hospital berkenaan.

Bagaimanapun, Hamas menafikan kehadiran mereka di dalam kemudahan itu.

Tentera Israel dikatakan menyerbu Al-Shifa pada awal pagi Isnin dan memasuki kompleks yang luas itu yang didakwa disambungkan ke rangkaian terowong untuk digunakan sebagai pangkalan untuk Hamas dan pejuang Palestin yang lain.

Penduduk yang tinggal berhampiran berkata, tentera Israel meletupkan berpuluh-puluh rumah dan pangsapuri di jalan-jalan di sekitar hospital dan jalan raya. 

Mereka berkata, Hospital persendirian, Al-Helo berhampiran turut diserang tentera.

Sementara itu, pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, kereta kebal Israel melanggar beberapa bangunan di Hospital Al Shifa dan membakar sebuah jabatan pembedahan dan kira-kira 240 pesakit dan rakan mereka serta berpuluh-puluh kakitangan penjagaan kesihatan ditahan.

Malah, tentera Israel mendedahkan, lebih 350 Hamas dan pejuang Jihad Islam setakat ini ditahan di hospital dan seramai 800 orang telah disoal siasat.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, jurucakap Hamas berkata bahawa mereka yang mati yang diumumkan dalam kenyataan Israel sebelum ini bukanlah pejuang tetapi pesakit dan orang yang dipindahkan.

Israel menghadapi kritikan berat pada November lalu apabila tentera mula-mula menyerbu hospital itu. 

Tentera Israel mendakwa menemukan terowong di sana yang mereka katakan digunakan sebagai pusat arahan dan kawalan oleh Hamas.

Tentera Israel menembak dan membunuh ahli farmakologi Palestin, Mohammad Al-Nono di luar Hospital Al Shifa selepas mereka mengarahkan dia berpindah, bersama beberapa rakan sekerjanya, kata keluarganya. 

Seorang ahli keluarga berkata mereka mengetahui tentang kematiannya daripada doktor lain. Tentera Israel tidak mempunyai sebarang komen segera.

Nono ialah abang kepada Taher Al-Nono, yang berkhidmat sebagai penasihat media kepada Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh. -Al Jazeera

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×