Dr. Gary Ko sumbang 150kg ikan sempena Ramadan

Dr. Gary Ko sumbang 150kg ikan sempena Ramadan

DR. GARY Ko bersama beberapa penerima program sumbangan makanan laut sempena Ramadan di Taman Mount Austin, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sempena kehadiran Ramadan tahun ini, seorang ahli perniagaan bukan Islam, Dr. Gary Ko menyumbang 150 kilogram (kg) makanan laut kepada masyarakat kurang berkemampuan.

Dia yang juga pembekal makanan laut dan sejuk beku itu menyampaikan sumbangan tersebut kepada penduduk daif di projek perumahan rakyat (PPR) Sri Stulang yang terdiri daripada golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, inisiatif itu diambil bagi berkongsi rezeki sempena Ramadan selain membantu meringankan beban golongan ter­babit dalam mendapatkan bahan mentah tersebut.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai seorang pakar dermatologi di Bangkok, Thailand, namun saya ambil keputusan kembali ke tanah air pada Disember 2019 ekoran penularan Covid-19 ketika itu.

“Tuhan membuka hati saya untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat tempatan ketika tempoh getir berkenaan.

“Saya meninggalkan bidang profesional dan memulakan perusahaan memborong ikan bersama keluarga, dan melalui perniagaan ini saya mahu berbakti kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan ikan kepada 12 keluarga di GM Seafood, Taman Mount Austin, di sini semalam.

Antara ikan yang disumbangkan adalah selar kuning, kembong, cencaru, kerisik, sotong, udang dan lala.

Gary gembira dan puas apabila dapat bantu meringankan beban masyarakat kurang bernasib baik walaupun hanya de­ngan memberikan sumbangan ikan.

“Saya gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat. Sumbangan ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami. Sumbangan ini sesuai dijadikan juadah dalam bulan Ramadan, sama ada ketika bersahur atau berbuka puasa.

“Saya menyokong konsep Keluarga Malaysia dan mahu kita saling bantu membantu tanpa mengira latar belakang kaum. Saya mahu Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni,” jelasnya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Kamsiah Mostari, 64, memberitahu, dia amat terharu dengan sumbangan itu kerana dapat menyediakan juadah ikan buat ahli keluarganya sempena Ramadan ini.
“Saya sudah beberapa bulan saya tidak membeli ikan untuk dimakan di rumah kerana harganya semakin mahal. Kami sekeluarga hanya menikmati makanan sedap sesekali sahaja, sebaliknya hanya makan menu biasa ketika bersahur dan berbuka puasa.

“Alhamdulillah ada pihak yang mahu menyumbangkan ikan, pada awalnya rasa tidak percaya juga,” katanya yang menerima pelbagai jenis ikan, udang dan sotong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×