Perit Ramadan tanpa bekalan air bersih

Perit Ramadan tanpa bekalan air bersih

PENGGUNA di Kelantan berharap jaminan bekalan air bersih di negeri itu akan selesai pada 2027 bukan janji kosong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Kira-kira 250 penduduk di Kampung Kemubu di sini mengakui perit menyambut Ramadan kali ini selepas berdepan masalah bekalan air yang menyebabkan mereka terpaksa menanggung kepayahan.

Dakwa penduduk, memburukkan lagi keadaan apabila ada dalam kalangan mereka langsung tidak mempunyai bekalan air bersih akibat masalah tersebut.

Wakil penduduk Hamidi Hamzah, 55, mendakwa masalah itu sudah berlarutan sejak setahun lalu tanpa sebarang jalan penyelesaian yang konkrit daripada pihak pengendali perkhidmatan.

Dakwanya, gangguan tersebut berpunca apabila tangki di kawasan kampung berkenaan terpaksa dikongsi dengan penduduk di Kampung Gua Chatok selain terdapat kebocoran yang gagal diselenggara dengan baik.

“Sejak itu, bermulalah episod ngeri buat penduduk di sini. Situasi memberikan tekanan buat kami dan memburukan lagi keadaan apabila air hanya akan keluar seminggu sekali, itupun selepas aduan dibuat.

“Setiap kali aduan dibuat, barulah kami dapat air. Sampai bila kami perlu berbuat demikian, sejujurnya, saya sudah muak untuk membuat aduan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hamidi memberitahu, ketika ini penduduk bergantung sepenuhnya kepada air tandak yang terletak hampir 1 kilometer dari kampung mereka.

Katanya, selain itu mereka juga akan menadah air hujan untuk dijadikan sebagai sumber.

“Disebabkan masalah ini, ada dalam kalangan anak-anak perantau yang mulai berkira-kira untuk pulang berada di sini akibat gangguan bekalan air,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Shamira Mansor, 40, berkata setiap hari dia terpaksa berulang alik lebih 10 kali untuk memunggah air tandak yang terletak hampir 1 Km dari rumahnya menggunakan motosikal.

Katanya, tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan urusan harian seperti mandi, membasuh pakaian, mencuci pinggan dan mangkuk serta memasak berjalan lancar.

“Rasa penat memang ada, tambahan pula di bulan Ramadan dan cuaca panas yang agak melampau ketika ini.

“Namun, saya terpaksa mengagahkan kudrat kerana ia memang penting dalam kehidupan seharian,” ujarnya

Sementara itu, Halimah Mat Zin, 60, berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera memandangkan kurang dua minggu lagi umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, jika masalah itu kekal berlaku berkemungkinan besar tidak dapat menyambut lebaran itu dalam keadaan sempurna.

“Saya merayu kepada pihak berwajib, bantulah kami. Sejujurnya, kami sudah tidak sanggup berdepan dengan masalah ini yang sudah berlarutan sejak hampir setahun lalu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×