PETALING JAYA: Lelaki yang dipercayai mencuri telefon bimbit milik pekerja sebuah kedai runcit di Pekan Sungai Besi, Cheras dekat sini hingga tular di media sosial ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek berusia 39 tahun terbabit ditahan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kejadian berlaku 10.45 malam ketika suspek ke kedai runcit berkenaan untuk membeli barang.
“Semasa pekerja pergi mendapatkan barang yang diminta, suspek melarikan telefon bimbit yang sedang dicaj di atas meja.
“Ketika melarikan diri, suspek terjatuh dan berjaya ditahan orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zam Halim berkata, polis yang menerima maklumat ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
Katanya, suspek direman tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN










