Kawal penggunaan telefon bimbit pelajar sekolah

Kawal penggunaan telefon bimbit pelajar sekolah

PERANAN keluarga terutama ibu bapa amat penting untuk mengawal anak-anak menggunakan telefon bimbit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN kerajaan untuk melarang penggunaan telefon pintar bagi kanak-kanak dan pelajar sekolah bawah 16 tahun itu wajar disokong. Australia juga telah meluluskan undang-undang pengharaman penggunaan telefon bimbit bawah 16 tahun dan ia adalah undang-undang yang pertama seumpamanya di dunia.
Namun begitu, undang-undang larangan penggunaan telefon pintar ini tidak memadai kerana masih terdapat ruang pelanggaran undang-undang akibat kesukaran penguatkuasaannya. Oleh itu, peranan keluarga terutama ibu bapa amat penting untuk mengawal anak-anak menggunakan telefon bimbit. Walaupun terdapat beberapa ciri keselamatan untuk mengawal penggunaan telefon bimbit, kawalan keselamatan ini masih mampu ditembusi dengan mudah.

Ibu bapa perlu menawarkan aktiviti-aktiviti alternatif sekiranya anak-anak tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit. Oleh itu, anak-anak sewajarnya dikawal dengan mesra tapi tegas dan digalakkan untuk melakukan aktiviti yang sihat dan semula jadi pada waktu lapang seperti bersukan, memancing, membersihkan kawasan rumah, menangkap ikan, berkhemah dan sebagainya.

Ibu bapa juga perlu mendekati anak-anak dengan melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti beriadah, makan bersama-sama, bersiar-siar, membersihkan kebun dan kawasan rumah.

Para guru harus mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan bebas telefon bimbit di sekolah. Galakkan pelajar menggunakan kaedah tradisional seperti menulis menggunakan tangan, mengira dan mencongak, merujuk kamus, mencari buku rujukan dan membuat kajian lapangan tanpa terlalu terikat pada penggunaan alat moden seperti komputer, telefon bimbit, kalkulator dan projektor terutama untuk pelajar sekolah rendah dan menengah bawah.

Galakkan juga pelajar untuk belajar tanpa merujuk internet dan menggunakan komputer. Hakikatnya, kemahiran mencari maklumat menggunakan internet dan perisian kecerdasan buatan (AI) amat mudah dipelajari namun belajar menggunakan kaedah tradisional, walaupun memerlukan lebih masa dan usaha, lebih berkesan dalam menguatkan asas ilmu yang dipelajari. Penggunaan internet, komputer dan perisian boleh diperkenalkan kepada pelajar menengah atas.

Apabila pelajar sekolah dapat menjarakkan diri daripada penggunaan telefon bimbit dan media sosial, peribadi mereka akan tumbuh secara sihat kerana terhindar daripada pengaruh negatif pada usia muda dan kehidupan menjadi lebih ceria, sihat dan mengujakan. Ilmu dan kemahiran mampu dipelajari dengan baik dan pengalaman hidup mematangkan lagi diri pelajar.

Dengan ini akan berkembanglah sifat hikmah dalam dirinya seumpama bunga yang sedang mekar indah yang dapat dilihat dalam tutur kata dan tingkah laku sama ada apabila mereka menghadapi konflik dan masalah kehidupan ataupun dalam rutin kehidupan seharian.

Apabila pelajar memiliki kematangan, ilmu dan hikmah, penggunaan telefon bimbit dan media sosial tidak memudaratkannya malah mendatangkan banyak kebaikan.

Moga-moga pelajar sekolah yang dididik dengan baik melalui penyekatan pengaruh negatif media sosial dan dengan diberikan ilmu berguna dunia dan akhirat akan dapat mengembangkan sifat hikmah sehingga mereka mencapai usia dewasa kelak. – UTUSAN

PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×