MELAKA: Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dipercayai menikam rakannya menggunakan sebilah parang selepas berlaku pertengkaran bagi menuntut semula telefon bimbit miliknya di rumah mangsa di Sungai Udang semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian pukul 8.30 malam itu dipercayai berpunca daripada pertikaian antara suspek dan mangsa berhubung sebuah telefon bimbit milik yang dipinjam beberapa hari sebelum kejadian.
“Suspek ikatakan datang ke rumah mangsa untuk menuntut semula telefon bimbitnya sebelum berlaku pertengkaran yang kemudian bertukar menjadi pergaduhan.
“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri ke Plaza Sungai Udang dan cuba bersembunyi di dalam sebuah kenderaan yang tidak berkunci.
“Bertindak atas maklumat yang diterima serta bantuan orang awam, pihak polis berjaya mengepung dan menahan suspek di lokasi tersebut. Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis telah memperoleh perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 Mac.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat, ASP Nor Afna Ibrahim di talian 013-7250454.










