PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah dalam keadaan tidak berpakaian dan menyamun telefon bimbit di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa di sini, semalam.
Suspek berusia 27 tahun itu masuk ke dalam rumah seorang wanita berusia 20 tahun melalui ruang tamu rumah yang tidak dikunci dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, ketika kejadian mangsa sedang menyidai pakaian sebelum terdengar bunyi pintu jeriji dibuka dan menyangka rakan serumahnya.
Katanya, mangsa melihat seorang lelaki tidak berpakaian masuk ke dalam rumah dan cuba melarikan diri, namun dihalang suspek.
“Susulan itu berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada paha kiri dan bibir serta tangan kirinya lebam dan calar.
“Suspek kemudian mengugut boleh membunuh mangsa dan turut meminta wang daripada wanita itu,” katanya hari ini.
Chang Hook berkata, mangsa cuba mendapatkan bantuan melalui telefon bimbitnya, namun suspek mengambil telefon itu sebelum keluar dari rumah apabila wanita itu tidak memberi kata laluan telefonnya.
Katanya, polis menahan suspek di Taman Sri Sentosa pada pukul 7.12 malam, semalam.
“Penahanan berkenaan turut membawa kepada beberapa rampasan membabitkan tiga telefon bimbit termasuk milik mangsa, sebuah beg galas, sebuah komputer riba, sehelai baju dan seluar serta selipar.
“Suspek mengaku terbabit beberapa kes yang disiasat sebelum ini membabitkan Seksyen 394 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Dia turut mendakwa menyamun untuk kegunaan perbelanjaan harian,” katanya.
Chang Hok berkata, suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan tujuh rekod dadah serta ujian awal saringan air kencing mendapati positif ganja.
“Suspek direman selama lima hari sehingga 13 November ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










