RIYADH: Agensi bantuan Arab Saudi, KSrelief mengumumkan sumbangan sebanyak AS$40 juta (RM188.28 juta) kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) bagi menyokong rayuan kecemasannya di Semenanjung Gaza.
Memorandum sokongan kewangan itu ditandatangani bersama oleh Penyelia Am pusat itu, Dr. Abdullah Al-Rabeeah dan Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarin melalui panggilan video.
Menurut Arab News, perjanjian itu akan membantu menyokong keselamatan makanan untuk rakyat Palestin di wilayah terkepung itu di mana perang Israel-Hamas tercetus selama lebih lima bulan.
“Adalah penting untuk menangani keperluan merdesak rakyat di Gaza,” kata Abdullah.
Sementara itu, Lazzarini berkata, derma itu mencerminkan solidariti berterusan kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Palestin.
Bantuan itu disasarkan untuk memanfaatkan 250,638 individu yang paling memerlukan bantuan selain menyediakan tempat tinggal dan bahan bukan makanan, termasuk khemah kepada 20,019 keluarga.
“Sumbangan ini adalah rangka usaha gigih yang dilakukan oleh Arab Saudi melalui UNRWA untuk memberikan bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas di Semenanjung Gaza dan mengurangkan penderitaan mereka akibat krisis kemanusiaan semasa yang mereka alami,” lapor SPA.
Ditubuhkan pada 1949, UNRWA menyediakan pendidikan, perkhidmatan sosial dan bantuan kecemasan kepada pelarian Palestin dan kebanyakannya dibiayai oleh penderma kerajaan.
Tetapi badan itu mendapat perhatian berat sebelah selepas Israel menuduh beberapa kakitangannya terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu di selatan Israel.
Beberapa negara bertindak menangguhkan pembiayaan mereka kepada organisasi bantuan tersebut walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata Israel tidak memberikan sebarang bukti berhubung tuduhan itu.
UNRWA menggaji kira-kira 30,000 orang di wilayah Palestin termasuk 13,000 di Gaza serta negara jiran Jordan, Lebanon dan Syria.
Usaha bantuan kemanusiaan dipergiat sejak beberapa minggu lalu termasuk melalui jatuhan udara dan pelancaran koridor kemanusiaan maritim dari Cyprus, tetapi PBB dan agensi bantuan lain memberi amaran ia tidak cukup untuk memenuhi keperluan di Gaza.











