KUALA LUMPUR: Transaksi DuitNow QR meningkat lebih dua kali ganda kepada 360 juta transaksi bernilai RM14.6 bilion pada tahun lalu, berbanding 125 juta transaksi berjumlah RM5.5 bilion pada 2022.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2023 berkata, pertumbuhan yang kukuh ini disokong oleh kadar penembusan telefon pintar yang tinggi sekitar 95 peratus dan capaian internet sekitar 97 peratus dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Hasilnya, terdapat peningkatan yang stabil dalam jumlah keseluruhan e-pembayaran per kapita dan tempat penerimaan DuitNow QR oleh peniaga di seluruh negara,” menurut laporan itu.
Sejak rangkaian pembayaran DuitNow QR dilancarkan pada 2019 oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), perkhidmatan ini terus menggalakkan ekosistem pembayaran yang lebih inklusif dengan penyertaan yang lebih pelbagai daripada 40 peserta bank dan bukan bank untuk memenuhi keperluan segmen pasaran yang berbeza.
Menyedari permintaan yang tinggi ini, BNM akan terus memastikan sistem pembayaran di Malaysia mampu memenuhi keperluan segmen peniaga yang berbeza.
Pada peringkat awal pelaksanaan DuitNow QR, PayNet dan industri memberikan pengecualian sementara terhadap fi transaksi DuitNow QR kepada penyedia perkhidmatan DuitNow QR sebagai sebahagian daripada usaha untuk membiasakan orang ramai dengan pembayaran DuitNow QR serta menggalakkan penggunaannya.
Hal ini seterusnya membolehkan kebanyakan peniaga mengambil manfaat daripada caj MDR sifar.
Pengecualian ini, yang sepatutnya ditamatkan pada 2022, telah dilanjutkan setahun lagi untuk memberikan sokongan kepada peniaga semasa tempoh pemulihan selepas pandemik. – UTUSAN











