WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken akan membuat lawatan ke Arab Saudi dan Mesir minggu ini bagi membincangkan usaha mencapai gencatan senjata segera di Gaza dan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller berkata, Blinken akan mengadakan rundingan dengan pemimpin Arab Saudi di Jeddah sebelum ke Kaherah untuk bertemu pihak berkuasa Mesir.
Usaha itu merupakan lawatan keenam Blinken ke Asia Barat sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
“Blinken akan membincangkan usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata segera yang menjamin pembebasan semua tebusan yang masih ditawan Hamas.
“Beliau juga akan mempergiat usaha antarabangsa untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan penyelarasan mengenai perancangan pasca konflik untuk Gaza, termasuk memastikan Hamas tidak lagi boleh mentadbir atau mengulangi serangan serupa seperti yang berlaku pada 7 Oktober tahun lalu,” katanya.
Jelasnya lagi, Blinken juga akan turut membincangkan laluan politik untuk rakyat Palestin dengan jaminan keselamatan Israel serta usaha mencapai keamanan dan keselamatan yang berkekalan di rantau berkenaan.
“Blinken akan membangkitkan isu penting untuk menamatkan serangan pemberontak Houthi Yemen ke atas kapal komersial serta rancangan memulihkan kestabilan dan keselamatan di Laut Merah dan Teluk Aden,” tambah Miller.
Blinken berada di Manila sebagai sebahagian daripada lawatan singkat ke Asia yang bertujuan untuk mengukuhkan sokongan AS terhadap sekutu serantau menentang China.
Pengumuman lawatan ke Asia Barat dibuat sehari selepas Ketua Perisik Mossad Israel, David Barnea memaklumkan akan bertemu Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani dan pegawai Mesir di Doha.
Pertemuan itu susulan cadangan terbaharu Hamas untuk mencapai gencatan senjata selama enam minggu, lebih banyak bantuan ke Gaza dan pembebasan awal kira-kira 42 tebusan sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin yang ditahan Israel.
“Semasa gencatan senjata yang dicadangkan, tentera Israel akan berundur dari semua bandar dan kawasan berpenduduk di Gaza,” kata pegawai Hamas.
Israel melakukan kempen pengeboman tanpa henti dan serangan darat yang sudah membunuh sekurang-kurangnya 31,726 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran selama berminggu-minggu bahawa kebuluran sedang melanda Gaza, dengan agensi bantuan melaporkan kesukaran besar untuk memasuki wilayah itu, khususnya di utara.
Ramai penderma kini beralih kepada penghantaran melalui udara atau laut, tetapi PBB menyifatkan ia bukan alternatif yang berdaya maju kepada penghantaran darat.-AFP











