SHAH ALAM: Ketua Polis Negara (KPN) memberi jaminan isu kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa mahu menjatuhkan beliau `terkawal’ dan dapat ditangani pasukan itu.
Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pendedahan isu kartel itu adalah sebagai tanggungjawab seorang KPN.
Menurut beliau, kegiatan tersebut dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab tetapi isu tersebut sudah ditangani dan tidak perlu dibawa ke peringkat atasan.
“Mereka yang kritik tindakan saya mendedahkan perkara ini, saya minta mereka sedar dan muhasabah diri khususnya mana-mana individu yang telah bersara dan ingin menggunakan kedudukan dalam PDRM meminta itu atau ini daripada pegawai saya. Namun, apabila tidak dilayan kecewa dan cuba mencari salah saya.
“Saya ingin tegaskan, PDRM bukan saya punya, tetapi kepunyaan negara. Sebagai KPN, mesti yakinkan kerajaan bahawa saya pimpin PDRM ke jalan yang betul.
“Saya ingin betulkan budaya yang tidak baik dan minta pegawai saya bukannya hentikan rantaian Covid-19 sahaja, tetapi, budaya ambil duit daripada bawah ke atas,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.
Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menolak dakwaan atau khabar angin bahawa pendedahan itu adalah taktik supaya tempoh perkhidmatannya disambung kerajaan.
Pada masa sama, Abdul Hamid meminta maaf secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan menganggap ia adalah soal dalaman dan berhak berkongsikan perkara ini kepada orang ramai.
“Saya sekadar menyampaikan kepada menteri (Hamzah), tidak perlu laporan, tetapi terpulang kepada menteri sama ada perkara itu untuk diangkat kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) atau tidak,” katanya.
Pada sidang akhbar sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman merampas dadah seberat 983 kilogram (kg) dadah termasuk syabu diseludup dari Thailand masuk ke Lembah Klang melalui Kelantan.
Menurut beliau, rampasan bernilai RM35.4 juta dibuat dalam serbuan pukul 9.15 malam di Kajang, Rabu lalu.
“Tiga lelaki tempatan berumur 37 hingga 42 tahun yang berada di rumah itu turut diberkas,” kata beliau.
.
Menurut beliau, pemeriksaan di rumah tersebut menemui 26 guni plastik mengandungi 650 bungkusan plastik berisi dadah dianggarkan seberat 673.2 kilogram.
“Polis turut membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori diletakkan di hadapan rumah itu dan menjumpai 12 guni plastik berisi syabu dengan anggaran berat 309.85kg.
Kata beliau, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 4.915 juta penagih. – UTUSAN










