SEREMBAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah membantu seramai 3.96 juta pelajar melibatkan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM71.65 bilion sehingga 29 Februari lalu.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, daripada jumlah berkenaan, seramai 25,928 orang merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM480.24 juta.
“Kemudahan pinjaman ini membuktikan peranan dan sumbangan besar PTPTN dalam melahirkan golongan cerdik pandai sekali gus menjadi aset penting kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USIM, MyFundAction dan PTPTN di Bangunan Canselori USIM, Nilai di sini hari ini.
Katanya, dalam misi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, PTPTN turut menyediakan instrumen simpanan terbaik yang sangat bermanfaat kepada masyarakat Malaysia iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
“Oleh itu, besar harapan saya jalinan kerjasama dengan USIM akan memberikan impak positif dalam memperkasakan usaha penabungan dengan lebih meluas tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sementara itu, katanya, melalui MoU ini, PTPTN dan USIM bersetuju untuk mengadakan hubungan dan kerjasama bagi memastikan penabungan Simpan SSPN dapat dibudayakan, kefahaman dan kesedaran pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dipertingkatkan dan pembangunan penyelidikan serta pendidikan tinggi diperkasakan untuk melahirkan graduan yang berkualiti.
“Skop kerjasama MoU yang akan dimeterai ini juga antara lain akan menumpukan kepada usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan agar berupaya memenuhi keperluan industri,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, kerjasama ini merupakan titik tolak penting dalam perjalanan USIM, MyFundAction dan PTPTN yang dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuhkan pendidikan tinggi di negara ini serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
“USIM amat bertuah kerana berpeluang memeterai jalinan kerjasama dengan dua institusi ini yang memberikan manfaat bersama demi kepentingan pelajar,” katanya.
MoU antara USIM dengan PTPTN akan dimeterai selama dua tahun manakala MoU antara USIM dengan MyFundAction akan dimeterai selama tiga tahun.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah sempurnakan di antara Dr. Sharifudin bagi pihak USIM dan PTPTN diwakili Ahmad Dasuki serta MyFundAction diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Siti Aisyah Shahid.-UTUSAN.









