PUTRAJAYA: Malaysia tidak bermusuhan dengan mana-mana negara sebaliknya mengamalkan dasar luar secara menyeluruh bagi menarik pelaburan dan memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia mahu lebih berkembang untuk menjaga kemaslahatan rakyat.
Menurut beliau, langkah itu akan dilaksanakan biarpun ada negara barat yang sangsi hubungan baik Malaysia dengan China, malah berpendirian tegas dalam soal Palestin.
“Cuma ada beberapa hal yang dibesarkan, soal Palestin dan China kerana banyak negara Barat agak sangsi mengapa nampak kita berdamping dengan China dan jawapan saya mudah, kita negara kecil, kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat.
“Jadi apabila saya ditanya soalan, bab Chinafobia atau Sinofobia, saya jawab tak ada sebab untuk ada permusuhan dan antisesiapa,” kata Perdana Menteri ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.
Menurut Anwar, hubungan dengan semua negara dalam soal kerjasama pelaburan amat baik dengan mengambil pendekatan sama bagi menggalakkan pelaburan timur dan barat yang memberi manfaat kepada negara.
Jelasnya, walaupun turut berbeza pendapat dengan Amerika Syarikat (AS) dalam isu memperjuangkan rakyat Palestin, Malaysia bersuara dengan terang dan jelas, malah ketika pertemuan dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz baru-baru ini juga Malaysia menyatakan pendirian sama.
“Di Australia, saya ditanya mengapa Malaysia pilih untuk mendukung China, saya jawab permasalahan persaingan AS dan China dalam penguasaan teknologi itu adalah masalah mereka. Tetapi apa yang terbaik di Eropah atau China kita rangkul semua, mengapa nak adakan sikap permusuhan.
“Di Jerman saya menyatakan, adakah kerana mereka menyokong Israel kita mengizinkan pembantaian di Gaza? Jadi mereka sebut bersetuju untuk dilakukan genjatan senjata dan tambah bantuan di Palestin,” katanya. – UTUSAN











