Ahli keluarga, pengikut Ayah Pin terus dipantau - Utusan Malaysia

Ahli keluarga, pengikut Ayah Pin terus dipantau

MAZLI Mazlan (kiri) bertanya khabar kepada balu Ayah Pin, Che Jarah Awang (dua kanan) ketika mengunjungi ahli keluarga tersebut di sebuah penempatan di Kampung Bukit Kemiyung, Batu 13 di Hulu Besut , Besut, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pejabat Agama Islam Daerah Besut dan polis akan terus memantau ahli keluarga serta pengikut ajaran sesat Ayah Pin walaupun tiada bukti berlaku penyebaran semula ajaran sesat itu diperoleh setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri,
Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihak berkuasa itu telah melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut lebih kurang sebulan lepas untuk tindakan lanjut.

“Kita dapat pastikan bahawa dari segi keadaannya terkawal, cuma bila kita bercakap benda-benda macam ni, kita hanya hukum zahir, dalam pemikiran itu kita tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi ahli keluarga Ayah Pin di sebuah penempatan di Kampung Bukit Kemiyung, Batu 13 di Hulu Besut di sini, hari ini.

Turut serta Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan.

Muhammad Khalil menambah, kerajaan negeri juga akan mengambil pendekatan menyatuni ahli keluarga dan pengikut Ayah Pin dalam pelbagai kaedah yang akan disusun selepas ini.

Sehubungan itu, katanya, jabatan dan agensi terlibat akan mengadakan beberapa program untuk mendekati golongan tersebut.

Pada masa sama, tambahnya, soal kebaikan
dan pendidikan ahli keluarga dan pengikut Ayan Pin yang tinggal di penempatan tersebut juga akan diambil perhatian.

“Kita akan rapatkan hubungan (dengan ahli keluarga Ayah Pin) dalam aspek menjaga kebajikan dan pendidikan mereka.

“Kelas-kelas untuk membetulkan kefahaman, memberi nasihat dan kaunseling (kepada golongan itu) juga akan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Mazli berkata, pihaknya akan terus memantau semua ajaran-ajaran sebegini supaya ia tidak menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam terutama di Terengganu.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan untuk
menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak yang berkenaan.

“Jangan digunakan media massa ini sehingga boleh menganggu kita punya 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menyebabkan kegusaran, ganggu gugat, kerisauan dan akhirnya boleh menyebabkan ketenteraman awam itu terjejas,” ujarnya.

Pada Ahad lalu, akhbar melaporkan terdapat dakwaan bekas pengikut Ayah Pin untuk menghidupkan semula ajaran sesat tersebut daerah Besut sehingga menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang individu dipercayai seorang pegawai masjid yang menggunakan nama Imam Muda Kulan di laman Facebooknya, baru-baru ini.

Melalui perkongsian di Facebook itu, Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat mendedahkan maklumat terdapat usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu dalam kalangan pengikutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×