GEORGE TOWN : Tiga pelancong warga Vietnam berdepan detik mencemaskan apabila tersesat di hutan ketika melakukan aktiviti pendakian di Gertak Sanggul, Bayan Lepas di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, pelancong terbabit dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 36 tahun, dilaporkan hilang arah sebelum berjaya menghubungi pihak penyelamat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau segera dikerah ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba di sana, komander operasi kemudian menjalankan penilaian awal dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan berdasarkan koordinat yang dihantar oleh mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
“Siasatan awal mendapati, mangsa memulakan pendakian dari Gertak Sanggul sebelum tersasar sehingga ke kawasan Pulau Cermin dan berada di pesisir pantai,” katanya ketika dihubungi di sini.
John Sagun berkata, pada pukul 7.50 malam, sebuah bot nelayan yang berada berhampiran lokasi telah membantu mengambil kesemua mangsa sebelum membawa mereka pulang ke Gertak Sanggul.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.38 malam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN










