Dua minggu sesat, Jaslinda susut 10 kilogram

Dua minggu sesat, Jaslinda susut 10 kilogram

WAN Immi Salim (tengah) bersama Sivanesan dan Mohd. Azlan yang melawat Jaslinda di Hospital Tapah hari ini. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Berat badan pendaki wanita yang ditemukan selamat pada Sabtu minggu lalu selepas hilang dua minggu hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, susut 10 kilogram.

Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, penyusutan berat badan wanita itu kerana bergantung pada sumber makanan yang terhad dalam hutan.

“Untuk yang tepat, berapa berat dia sudah turun, berbeza semasa pergi mendaki dan ditemui.

“Mungkin atau hampir 10 kilogram, kami tidak timbang secara konsisten. Untuk sokongan emosi, staf kami sentiasa memantau dan saya sendiri juga bertanya sama dia dapat rehat, tidur dan sebagainya, Alhamdulillah positif,” katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.

Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Mohd. Azlan Helmi turut melawat Jaslinda di hospital berkenaan.

Media pada Sabtu llalu melaporkan Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ditemui oleh Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh setelah operasi mencari dan menyelamat terhadapnya dilakukan selama dua minggu.

Wan Immi sementara itu berkata, Jaslinda mungkin akan dibenarkan keluar daripada hospital tersebut dalam beberapa hari lagi selepas dijangka pulih sepenuhnya.

Berhubung kecederaan kepala yang dialami oleh Jaslinda kerana terjatuh ke dalam jurang, Wan Immi menjelaskan tiada pendarahan dalaman dikesan selepas pemeriksaan dilakukan.

“Dia memaklumkan telah jatuh beberapa kali terutama pada awal hilang hampir ketinggian lima meter masuk gaung menyebabkan dia tersasar trek laluan asal pendakian.

“Oleh kerana itu, pada awal pemeriksaan, kita telah buat pemeriksaan saringan untuk kepalanya, Alhamdulillah tiada kecederaan pada kepala atau otak melainkan luka-luka di luar sahaja,” katanya.

Jelasnya, tiada permohonan keluarganya untuk memindahkan Jaslinda ke hospital swasta di Kuala Lumpur kerana berpuas hati dengan perkhidmatan berkualiti fasiliti kesihatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN