13,000 kanak-kanak Gaza dibunuh tentera Israel

13,000 kanak-kanak Gaza dibunuh tentera Israel

KANAK-kanak berdiri di sebelah runtuhan Masjid Al-Faruq, yang musnah semasa pengeboman Israel, di Rafah di selatan Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Israel membunuh lebih 13,000 kanak-kanak di Gaza sejak 7 Oktober lalu manakala yang lain mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.

Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell mendedahkan, terdapat kanak-kanak yang tidak mempunyai tenaga untuk menangis atau bergerak.

“Beribu-ribu lagi cedera atau kami tidak dapat menentukan di mana mereka berada. Mereka mungkin terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak melihat kadar kematian itu dalam kala­ngan kanak-kanak dalam hampir mana-mana konflik lain di dunia.

“Saya pernah berada di wad kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat besi yang teruk, seluruh wad benar-benar sunyi kerana kanak-kanak, bayi tidak mempunyai tenaga untuk menangis,” katanya dalam rangkaian stesen CBS News.

CABARAN BIROKRASI

Tambah Russell, terdapat cabaran birokrasi yang sangat hebat untuk memindahkan trak ke Gaza bagi menyerahkan bantuan kepada penduduk.

Katanya, kebuluran menghantui lebih dua juta rakyat Pa­lestin sejak perang pembunuhan beramai-ramai Israel bermula.

Lebih-lebih lagi, menurut Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), satu daripada tiga kanak-kanak di bawah umur dua tahun di utara Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.

AMARAN KEBULURAN

Agensi itu juga memberi amaran bahawa kebuluran sedang melanda di kawasan yang terkepung menghadapi pengeboman berterusan Israel selama lebih lima bulan.

Kritikan antarabangsa meningkat ke atas Israel kerana jumlah kematian perang, krisis kebuluran di Gaza dan dakwaan menyekat penghantaran bantuan ke kawasan tersebut.

Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu me­ngulangi ancaman serangan darat ke atas Rafah, bandar yang bersempadan dengan Mesir di mana lebih sejuta rakyat Palestin berlindung.

“Tiada tekanan antarabangsa yang akan menghalang kami daripada merealisasikan semua matlamat perang iaitu menghapuskan Hamas, membebaskan semua tebusan kami dan memastikan Gaza tidak lagi me­nimbulkan ancaman terhadap Israel.

“Untuk melakukan ini, kami juga akan beroperasi di Rafah,” kata Netanyahu dalam video yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Sejak 7 Oktober lalu, kempen ketenteraan Israel membunuh sekurang-kurangnya 31,645 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan Gaza dan menyebabkan hampir dua juta penduduknya kehila­ngan tempat tinggal.

Operasi Israel juga membawa kepada tuduhan pembunuhan beramai-ramai, disiasat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa PBB.

Israel berulang kali menafikan tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan menegaskan bahawa ia bertindak untuk mempertahankan diri selepas serangan 7 Oktober lalu oleh pejuang Hamas yang dikatakan membunuh lebih 1,130 orang dan menawan le­bih 200 orang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×