KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memuktamadkan isu padi dan beras putih dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL) yang diawalkan kepada esok.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Rabu ini diawalkan sehari bagi membincangkan isu-isu berbangkit.
Kata beliau, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) turut memberi komitmen kepada kerajaan untuk membantu memastikan keberadaan bekalan dalam pasaran dan memerangi kartel.
“Kehilangan beras tempatan adalah disebabkan pembungkusan semula oleh kartel-kartel yang ingin mendapatkan keuntungan berlebihan. Jadi penglibatan awal iaitu dari penyediaan tanah sehingga pengeluaran dan pengedaran beras mampu dibuat oleh Nafas.
“Insya-Allah, Nafas akan bersama-sama membantu kerajaan untuk berhadapan dengan tekanan kartel dan menjual beras dengan harga lebih munasabah supaya kos sara hidup dapat dikurangkan serta harga makanan ruji tersebut stabil dan harmoni dalam industri beras sehingga ke pesawah,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen.
Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi masa kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta NACCOL untuk memuktamadkan isu berkaitan harga padi dan beras sehingga 20 Mac ini.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, Nafas dicadang menjadi pembeli padi di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) di seluruh negara bagi memastikan ia dapat dikawal.
“Ini kerana, sekarang padi ada (tetapi) beras tiada. Padi dihasilkan oleh pesawah setiap musim (iaitu) dituai dan dijual kepada pengilang tapi beras (masih) tiada di dalam pasaran.
“Jadi bagaimana kita nak kawal supaya padi tempatan yang dikisar akan mengeluarkan beras tempatan yang akan kerajaan tentukan harganya nanti,” katanya. –
Jelasnya, Nafas mempunyai fasiliti untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dan diyakini mampu memastikan bekalan beras tempatan dalam pasaran.
“Di bawah Nafas iaitu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK ada yang mempunyai kilang, pusat pembelian dan lesen burung. Mereka sudah ada dalam pasaran, jadi cuma mungkin kita nak tambah sahaja di kawasan-kawasan yang belum ada lagi,” katanya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu memaklumkan bahawa cadangan tersebut sudah dibincangkan dengan KPKM dan pemegang-pemegang taruh yang lain bagi peringkat awal.
Tambahnya, Nafas turut menyatakan kesediaan mereka untuk menjadi pengimport beras alternatif.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan terdapat cadangan daripada pihak lain untuk mengapungkan harga beras.
“Sekiranya ia diapungkan maka risiko kepada pengguna, apabila harga (menjadi) lebih tinggi (maka) pengguna terpaksa membayar lebih tinggi. Jadi kos sara hidup pengguna akan bertambah.
“Tetapi sekiranya harga pasarang kurang, pesawah akan mendapat pembelian padi yang rendah jadi akan berlaku ketidaksabilan jika diapungkan. Malah, kita tidak boleh petaruhkan sekuriti makanan kepada pasaran terbuka,” tegasnya.
UTUSAN










