JAKARTA: Indonesia terus mendorong penggunaan kenderaan elektrik (EV) dengan memperkenalkan pelbagai insentif kepada pengeluar bagi mencapai matlamat mengurangkan pencemaran di negara itu.
Usaha tersebut diterajui Menteri Koordinator Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan yang turut digelar sebagai ‘konduktor’ dalam pembangunan industri EV di Indonesia.
Luhut menegaskan, beliau akan memastikan pelbagai dasar kementerian dan institusi berada dalam keadaan harmoni agar impian menukar tabiat rakyat daripada menggunakan kenderaan bahan api fosil kepada EV dapat direalisasikan.
Populasi EV di Indonesia menunjukkan pertumbuhan ketara dengan peningkatan lebih 262 peratus jumlah pengguna motosikal elektrik yang mencecah 62,409 unit pada 2023 berbanding hanya 17,198 unit pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu merupakan manifestasi kejayaan program bantuan kerajaan untuk pembelian motosikal elektrik, seperti yang termaktub dalam Peraturan Menteri Perindustrian Nombor 6 Tahun 2023 tentang garis panduan bantuan kerajaan bagi pembelian kenderaan elektrik dua roda.
Populasi kereta elektrik juga dilaporkan mencatat pertumbuhan sebanyak 43 peratus, daripada 8,562 unit pada 2022 kepada 12,248 unit pada 2023.
Justeru, kerajaan Indonesia mengeluarkan pelbagai program bagi merancakkan lagi industri kereta elektrik di Indonesia termasuk merangka insentif baharu duti import dan cukai jualan ke atas barangan mewah.
Insentif tersebut disediakan untuk import kereta elektrik lengkap dan belum dipasang siap merangkumi tiga jenis cukai dalam setiap skim kepada syarikat yang komited untuk melabur di Indonesia.
“Kerajaan mengecualikan syarikat daripada duti import dan cukai jualan barangan mewah dan mereka hanya perlu membayar cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 11 peratus daripada harga jualan.
“Syarikat yang komited untuk melabur dijangka mula aktif mengeluarkan kereta di Indonesia selewat-lewatnya awal 2026.
“Ketiga-tiga skim itu mencerminkan komitmen pelbagai kementerian dan institusi berkaitan untuk membangunkan industri EV di negara ini bagi merealisasikan udara yang lebih bersih untuk semua rakyat,” jelas kementerian dipetik Antara News.











