PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyelar tindakan Google yang memaparkan kadar pertukaran ringgit tidak tepat sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Fahmi berkata, pihak Bank Negara telah meminta penjelasan daripada Google mengenai insiden tersebut kerana ia bukannya kali pertama berlaku.
“Ini satu petanda yang tidak baik kerana telah menimbulkan kegusaran dan salah faham, kita sedia maklum Google menjadi rujukan kepada rakyat.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh berlaku dan kami sama sekali tidak membenarkannya daripada berulang kembali,” kata kepada pemberita selepas siri ketiga program Teh Hijau Kuala Lumpur yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan, dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google.
Bank Pusat itu berkata, ia kali kedua Google menerbitkan data pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun ini.
“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku dan langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu,” katanya.
BNM memaklumkan, pada 15 Mac 2024 kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada 9 pagi dan 4.7045 pada 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgi, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.
Bank pusat itu telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024. – UTUSAN











