Tiada lagi bayi bersaiz normal di Gaza- PBB

Tiada lagi bayi bersaiz normal di Gaza- PBB

SEORANG doktor merawat bayi pramatang Palestin yang dipindahkan ke hospital al-Arish di Sinai di utara Mesir.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Situasi kemanusiaan di Gaza menjadi mimpi ngeri bagi golongan ibu dan bayi, di mana doktor melaporkan bayi baru lahir kini sangat kecil dan sakit selain dibelenggu peningkatan kes kematian.

Perkara itu disuarakan Wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Palestin, Dominic Allen yang turut kecewa melihat majoriti wanita terpaksa menjalani pembedahan Caesarean tanpa bius yang mencukupi.

“Saya secara peribadi meninggalkan Gaza minggu ini dalam ketakutan memikirkan keadaan sejuta wanita dan gadis Gaza terutamanya bagi 180 ibu-ibu yang bersalin setiap hari.

“Doktor melaporkan mereka tidak lagi melihat bayi bersaiz normal. 

“Apa yang mereka lihat dengan tragisnya, adalah lebih banyak kelahiran mati dan lebih banyak kematian neonatal, sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan zat makanan, dehidrasi dan komplikasi,” katanya dalam sidang berita video dari Baitulmuqaddis..

Allen memaklumkan keadaan itu selepas melawat hospital yang masih menyediakan perkhidmatan bersalin di utara Gaza walaupun mengalami masalah kekurangan bekalan yang teruk.

Bilangan kelahiran yang rumit meningkat dua kali ganda berbanding sebelum perang Israel bermula, dengan ibu mengandung berada dalam keadaan tertekan, takut, kurang makan dan keletihan.

“Kami mempunyai laporan anestetik yang tidak mencukupi untuk pembedahan Caesarean, yang jelas sukar dibayangkan.

“Ibu-ibu itu sepatutnya memeluk bayi mereka. Anak-anak itu tidak sepatutnya dibungkus dengan beg mayat,” tambah Allen.

Israel sering menuding ke arah PBB untuk menghantar lebih banyak bantuan ke wilayah itu ketika mereka meneruskan matlamat menghapuskan Hamas namun menolak laporan tentang pemeriksaan keterlaluan yang menghalang makanan dan keperluan lain masuk ke Gaza.

Allen berkata, pihak berkuasa Israel enggan membenarkan beberapa penghantaran bekalan UNFPA seperti kit untuk bidan serta bekalan seperti lampu suluh dan panel solar.

“Ia adalah mimpi ngeri yang lebih daripada krisis kemanusiaan. Ia adalah krisis kemanusiaan yang sudah melampaui malapetaka.

“Apa yang dilihat semasa memandu melalui Gaza benar-benar menghancurkan hati saya. Setiap orang yang saya temui semuanya kurus kering, lapar dan letih akibat perjuangan harian untuk terus hidup.

“Di satu pusat pemeriksaan tentera, saya lihat seorang budak lelaki sekitar usia lima tahun berjalan dengan tangan diangkat tinggi dan jelas ketakutan, manakala kakaknya mengikut di belakang memegang bendera putih,” katanya.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, kempen balas dendam Israel membunuh sekurang-kurangnya 31,490 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×