RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menamakan Dr. Mohammad Mustafa, sekutu dan tokoh perniagaan terkemuka sebagai Perdana Menteri baharu dengan mandat untuk membantu reformasi Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Lapor agensi berita WAFA, pelantikan Mohammad dibuat selepas tekanan yang semakin meningkat untuk merombak dan menghidupkan semula badan pentadbir wilayah Palestin dan memperbaiki tadbir urusnya di Tebing Barat di mana ia berpusat.
Mahmoud kekal sebagai tokoh paling berkuasa dalam PA, tetapi pelantikan kerajaan baharu adalah demonstrasi kesediaannya untuk memenuhi tuntutan antarabangsa bagi perubahan dalam pentadbirannya.
Mohammad yang membantu mengatur pembinaan semula Gaza berikutan konflik sebelum ini, ditugaskan untuk mengetuai misi serupa selepas kawasan itu dihancurkan Israel dalam tempoh lima bulan peperangan.
Beliau menggantikan bekas Perdana Menteri, Mohammed Shtayyeh dan pentadbirannya yang meletak jawatan pada Februari lalu untuk memberi laluan kepada pemerintah golongan teknokrat dan ahli perniagaan.
Mohammad, 69, yang dihormati oleh banyak pihak berkepentingan antarabangsa, memegang ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Universiti George Washington.
Beliau adalah ahli jawatankuasa eksekutif bebas Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang didominasi oleh gerakan Fatah yang memerintah.
Beliau juga berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Palestin dari 2013 hingga 2014, Menteri Ekonomi, Penasihat Ekonomi kepada Mahmoud dan Pengerusi Dana Pelaburan Palestin sejak 2005.
Pengalaman luasnya yang turut memegang beberapa jawatan kanan di Bank Dunia selama lebih 15 tahun dan menjadi penasihat kerajaan Kuwait serta dana kekayaan negara Arab Saudi menjadi antara sebab beliau dikatakan mendapat sokongan sekutu rapat Mahmoud.
“Pelantikan Mohammad mewakili satu percubaan untuk menguatkan institusi Palestin dan menutup beberapa kelemahan dalam PA ketika Abbas berada di bawah tekanan dari Israel dan Amerika Syarikat (AS),” kata Penganalisis Politik Palestin, Abdul Majeed Sweilem.
Ketika perang di Gaza berterusan, keganasan di Tebing Barat turut memuncak ke tahap yang tidak pernah dilihat dalam hampir dua dekad.
Menurut kementerian kesihatan di Ramallah, tentera dan peneroka Israel membunuh sekurang-kurangnya 430 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula.
AS dan kuasa lain menyeru agar kepimpinan baharu PA mengambil alih semua wilayah Palestin selepas tamat perang.
Sejurus selepas peletakan jawatan Mohammed pada akhir Februari lalu, puak Palestin termasuk Hamas dan Fatah menyertai rundingan yang dianjurkan oleh Russia bagi menangani perang di Gaza dan rancangan pasca perang.
Dalam satu kenyataan bersama, dua kumpulan tersebut berkata mereka akan meneruskan tindakan perpaduan dalam menghadapi Israel.-REUTERS/AFP










