TMM 2024 ubah trend tempahan bilik suram awal tahun

TMM 2024 ubah trend tempahan bilik suram awal tahun

SAZALI Sabri (kanan) menunjukkan hidangan kepada Pengerusi M Corp Hotel Sdn. Bhd., Abdul Hakim Abdul Wahid pada Majlis Pelancaran Bufet Ramadan Hotel MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Trend tempahan bilik yang kebiasaannya suram setiap awal tahun nampaknya tidak berlaku pada Januari dan Februari lalu, yang mana hampir 70 peratus bilik berjaya dijual kerana Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif M Corp Hotel Sdn. Bhd., Sazali Sabri berkata, sudah menjadi kebiasaan tahun-tahun sebelumnya, hanya 40 hingga 50 peratus sahaja kadar tempahan antara Januari hingga Mac diterima rata-rata pemain industri perhotelan di Melaka.

Jelasnya, tidak hanya bergantung kepada pelancong tempatan, tempahan melibatkan pelancong luar negara terutama dari China juga sangat memberangsangkan.

Ujarnya, impak positif daripada penganjuran TMM 2024 sedikit sebanyak dapat membantu industri berkenaan kembali bangkit selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Pada Januari dan Februari 2024 tempahan yang kita terima cukup menggalakkan, terutamanya sewaktu cuti sekolah dan ketika cuti umum Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68, 20 Februari lalu.

“Semua ini memberi satu petanda cukup baik selepas lebih dua tahun industri hotel terkesan dengan Covid-19 dan kita berharap sambutan hebat ini akan berterusan sehingga ke hujung tahun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bufet Ramadan Hotel MITC, Ayer Keroh di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, TMM 2024 menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 150,000 pelancong mengunjungi Melaka sempena Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu menjanjikan kejayaan TMM 2024 terutama kunjungan di 11 produk pelancongan yang menawarkan kemasukan percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN