TEMERLOH: Petronas didakwa tidak melantik syarikat bumiputera bagi melaksanakan pemasangan sistem solar bernilai RM300 juta di 300 stesen minyak miliknya di seluruh negara.
Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Malaysia (DPBFM), Datuk Mokhtar Mohd. Ghazali berkata, keputusan Petronas yang melantik salah sebuah syarikat bukan bumiputera bertentangan dengan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB’24).
Menurutnya, pelantikan syarikat itu menidakkan agenda KEB’24 yang bertujuan mengangkat ekonomi Melayu dan bumiputera.
“Syarikat bumiputera tidak dapat merasai kek ekonomi Petronas yang bernilai RM300 juta kerana kos bagi setiap stesen minyak kira kira RM1 juta bagi setiap satu projek.
“Banyak syarikat bumiputera berwibawa mampu melaksanakan projek ini jika diberi peluang tetapi dipandang sebelah mata oleh Petronas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mokhtar menyokong kenyataan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon yang menyatakan kekesalannya terhadap Petronas yang melantik syarikat bukan bumiputera bagi pemasangan sistem solar di 300 stesen minyaknya.
Menurutnya, syarikat bumiputera secara umumnya mengharapkan GLC seperti Petronas untuk mendapatkan kontrak kerja bagi menikmati kek ekonomi negara yang semakin berkembang maju.
Tegas beliau, Petronas yang membawa aspirasi kerajaan sepatutnya memberikan peluang dan ruang kepada syarikat bumiputera yang mempunyai kemahiran serta kepakaran dalam industri penjanaan tenaga suria untuk turut terlibat dalam projek ini.
Tegas beliau, jika inilah amalan Petronas yang tidak menghayati hasrat murni pengasas Petronas untuk memakmur ekonomi Melayu/bumiputera matlamat melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) hanya tinggal di atas kertas.
“Sudah tiba masanya pemimpin Melayu dalam kerajaan melihat dengan serius urus tadbir Petronas secara menyeluruh demi masa depan syarikat Melayu/bumiputera.
Mokhtar berkata, Petronas perlu bersikap lebih adil untuk turut melibatkan syarikat syarikat bumiputera dalam setiap projek bersama syarikat bukan bumiputera. – UTUSAN










