GAZA: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell memberi amaran kebuluran kini semakin jelas digunakan sebagai senjata perang di Gaza dan menyifatkan kekurangan bantuan yang memasuki wilayah itu sebagai bencana buatan manusia.
Ketika berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York Selasa lalu, Borrell berkata, krisis kemanusiaan di wilayah itu adalah akibat kekurangan laluan darat yang berdaya maju.
“Kita kini berhadapan dengan penduduk yang berjuang untuk kelangsungan hidup mereka. Bantuan kemanusiaan perlu masuk ke Gaza dan EU sedang berusaha sedaya upaya untuk memudahkan proses itu.
“Krisis kemanusiaan ini adalah buatan manusia dan apabila kita mencari cara alternatif untuk memberikan sokongan melalui laut atau udara, kita perlu mengingatkan diri kita yang kita harus melakukannya kerana cara semula jadi untuk memberikan sokongan melalui jalan raya sudah ditutup dengan sengaja.
“Kebuluran digunakan sebagai senjata perang dan apabila kami mengutuk perkara ini berlaku di Ukraine, kami perlu menggunakan perkataan yang sama untuk apa yang berlaku di Gaza,” katanya.
Komen itu dibuat selepas PBB memberi amaran kepada sekurang-kurangnya 576,000 orang di Gaza atau satu perempat daripada penduduk wilayah itu hanya selangkah lagi daripada kebuluran.
Kementerian kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 27 orang kebanyakannya kanak-kanak meninggal dunia di hospital akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi dalam tempoh dua minggu lalu.
Kapal Sepanyol membawa 200 tan bekalan makanan dilaporkan sudah meninggalkan Cyprus dengan rakyat Palestin yang bekerja untuk World Central Kitchen (WCK) akan membantu membina jeti di lokasi yang tidak didedahkan di pantai Gaza bagi memunggah bantuan tersebut.
Sebuah kapal tentera AS, Jeneral Frank S Besson juga sedang belayar ke Asia Barat dengan membawa peralatan untuk membina jeti sementara itu.
Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Lord Cameron turut menggesa Israel membuka pelabuhan utama Ashdod, salah satu daripada tiga pelabuhan kargo utama di selatan Tel Aviv bagi memudahkan penghantaran bantuan melalui laut ke Gaza.
Tetapi PBB menegaskan usaha itu tidak dapat menggantikan penghantaran bantuan melalui darat.
Cara terpantas dan paling berkesan untuk menghantar bantuan ke wilayah itu adalah melalui jalan raya namun sekatan Israel menyebabkan hanya sebahagian kecil daripada bahan keperluan dibenarkan masuk.
Selasa lalu, konvoi Program Makanan Sedunia (WFP) menggunakan laluan darat untuk menyampaikan bantuan ke utara Gaza buat kali pertama dalam tempoh tiga minggu.
Penyelaras Bantuan PBB untuk Wilayah Palestin, Jamie McGoldrick berkata, trak itu menggunakan jalan dilalui tentera Israel di sepanjang pagar sempadan Gaza.
Makanan yang mencukupi untuk 25,000 orang dihantar ke Gaza City, dengan jurucakap WFP, Shaza Moghraby berkata, mereka berharap untuk meningkatkan penghantaran tetapi memerlukan akses mudah supaya usaha itu boleh dilakukan secara tetap dan konsisten.
Sehingga kini, lebih 31,180 orang terbunuh di Gaza selepas rundingan selama berminggu-minggu melibatkan pengantara Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir gagal membawa gencatan senjata atau perjanjian pertukaran tebusan yang dicadangkan ketika bulan Ramadan.-AGENSI










