GEORGE TOWN : Pemilik Rumah Agam 99 Pintu di Nibong Tebal telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan selepas kejadian sebuah kren tumbang di atas bumbung rumah agam itu sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan teruk pada struktur bangunan warisan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pemilik perlu menjalankan kerja-kerja pembaikan mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
Hal ini demikian kerana, katanya, Rumah Agam 99 Pintu itu telah dikenal pasti oleh MBSP sebagai bangunan warisan di Pulau Pinang.
“Sama seperti kamu (pemberita), saya juga membaca tentang kejadian itu daripada siaran media sosial. Walaupun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sana, saya juga tidak diberitahu mengenai penggambaran itu.
“Tetapi selepas ia tular, saya mengarahkan MBSP untuk menyiasat perkara itu. Bagaimanapun, anggota MBSP yang pergi bersama polis ke rumah itu tidak dapat memasuki premis tersebut kerana pintunya berkunci dan ia adalah harta persendirian,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah kren yang dipercayai digunakan untuk tujuan penggambaran, terjatuh di atas bumbung Rumah Agam 99 Pintu pada Jumaat lalu dan kejadian itu merosakkan struktur bangunan tersebut.
Difahamkan, banglo itu dibina oleh seorang ahli perniagaan British dikenali sebagai Ramsden di tengah ladang kelapa sawit dengan seni bina Inggeris lengkap 10 bilik, dewan tari, ruang tamu dan ia mendapat jolokan Rumah 99 Pintu kerana susunan lima hingga enam pintu di setiap bilik.
Kisah rumah itu mula mendapat perhatian apabila pada 1948, cucu kepada pemilik banglo itu dikatakan telah dibunuh secara kejam.
Ketika ini, Rumah Agam 99 Pintu itu bagaimanapun tidak berpenghuni dan dikelilingi oleh ladang kelapa sawit sahaja.

Menurut Jason, susulan daripada kejadian itu, pihak MBSP telah mengeluarkan surat kepada pemilik premis untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan mengikut peraturan dan tatacara bangunan warisan.
“Rumah Agam 99 Pintu itu telah disenaraikan sebagai bangunan warisan di Seberang Perai tetapi masih belum diwartakan,”katanya.-UTUSAN










