TEL AVIV: Israel mendakwa akan cuba memenuhi Semenanjung Gaza dengan bantuan kemanusiaan dari pelbagai jalan masuk selepas menerima desakan antarabangsa bagi menangani isu kebuluran serius di wilayah itu.
Perkara itu dinyatakan oleh jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam sidang akhbar.
“Kami akan cuba `membanjiri’ wilayah itu dengan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Katanya, lebih banyak konvoi bantuan akan menyusul selain penghantaran dari pintu masuk lain seperti misi airdrop dan kargo bantuan laut.
“Kami sedang belajar dan menambah baik serta melakukan perubahan berlainan supaya tidak mencipta rutin, sebaliknya mewujudkan pelbagai cara yang boleh kami masuki,” katanya.
Semalam, tentera mengumumkan enam trak bantuan yang membawa bekalan daripada Pertubuhan Makanan Sedunia (WFO) memasuki bahagian utara Gaza melalui laluan dikenali sebagai pintu ke-96.
Sementara itu, Hagari mengakui usaha mengagihkan bekalan ke wilayah itu hanya sebahagian daripada masalah dan banyak lagi perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu terutama proses mengagihkannya secara adil dan cekap kepada penduduk yang amat memerlukan.
“Masalah di dalam Gaza adalah pengagihannya,” katanya. – REUTERS











