Rohingya Semabok: Orang kampung dulu risau, kini takut - Utusan Malaysia

Rohingya Semabok: Orang kampung dulu risau, kini takut

PENEMPATAN Rohingya di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka yang jika dahulu merisaukan kini mencetuskan ketakutan penduduk setempat. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu etnik Rohingya di negeri ini bukanlah senario baharu kerana kegusaran penduduk tempatan dengan kebanjiran komuniti berkenaan yang sudah berlarutan hampir 20 tahun.

Antara lokasi yang dikuasai kelompok pelarian dari Myanmar itu adalah di Semabok, Limbongan dan Pengkalan Rama.

Mengikut statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat 2,172 orang pelarian etnik itu yang berdaftar dan menetap di Melaka pada 2022.

Bagaimanapun, kini dianggarkan populasi Rohingya meningkat antara 3,000 hingga 5,000 orang setelah mengambil kira faktor perkahwinan sesama sendiri dan kemasukan tidak berdaftar dengan UNHCR.

Mengambil contoh situasi getir di Jalan Pulau Senang 3 dan Jalan Bunga Raya 4 di Semabok, jumlah warga Rohingya di situ pernah mencecah 300 orang sehingga mampu membentuk ‘perkampungan’ atau lokaliti sendiri.

IDENTITI

Malah ketika tinjauan beberapa orang daripada mereka berani bertanyakan identiti serta tujuan keberadaan wartawan dan jurugambar di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengulas, tindakan drastik perlu dilakukan Persekutuan melalui penggubalan undang-undang membabitkan kemasukan dan keberadaan pelarian di Malaysia.

MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM

Beliau berkata, ini kerana gerak kerja pengawalan, pemantauan atau penguatkuasaan sukar dilakukan terhadap mereka terutama kepada individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah.

Menurut beliau, kegagalan majoriti etnik itu menerima cara hidup dan amalan masyarakat tempatan antara punca ancaman kepada rakyat seperti masalah kebersihan, jenayah dan sebagainya.

Walhal, dalam soal agama sekalipun, meskipun mereka beragama Islam, terdapat segelintir enggan mematuhi ketetapan pihak berkuasa agama negeri contohnya mewujudkan surau dan masjid sendiri, dengan alasan perbezaan mazhab.

“Isu Rohingya di Melaka ini sudah tahap menimbulkan ketakutan masyarakat. Dulu tidak ada apa-apa, kita mengalu-alukan, selepas itu kita tidak selesa, kemudian merisaukan dan sekarang sudah menimbulkan ketakutan.

“Dalam konteks ini kita kena fahamkan pelarian dengan pendatang. Saya hari ini selalu bercerita tentang pelarian, sebab pelarian ini ikatan undang-undang kita UNHCR itu sahaja. Lepas dia buat salah, hukum, lepas balik.

HANTAR

“Kalau pendatang ini lepas buat salah, hukum, hantar balik. Mereka ini bebas kalau bawa kenderaan tidak ada lesen, kena saman dia buang sahaja, macam tidak ada undang-undang untuk ikat mereka.

“Pada saya istilah pelarian sudah tidak relevan. Contoh pelarian ini tidak boleh kerja, tidak boleh berniaga. Kalau begitu mereka hendak makan apa? Kalau beri pekerjaan kita hendak ikat mereka guna undang-undang apa?,” katanya ketika ditemui.

Pada Januari 2023, seorang lelaki Rohingya berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak.

Kemudian, pada September 2023, dua lelaki warga Rohingya didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merogol, melakukan serangan seksual serta mencabul seorang pelajar sekolah dalam sebuah kereta.

Mengikut UNHCR, pemegang kad tidak terkecuali daripada undang-undang yang mana pelarian harus mematuhi undang-undang negara tuan rumah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×