JAKARTA: Penyelamat Indonesia melancarkan operasi mencari sekurang-kurangnya 22 nelayan yang hilang di perairan Selayar, tengah Indonesia semalam selepas bot mereka terbalik Sabtu lalu.
Menurut pegawai penyelamat, kejadian itu menyebabkan dua orang ditemukan maut setakat ini.
Bot dengan sekurang-kurangnya 35 anak kapal itu terbalik di perairan terpencil Kepulauan Selayar di Provinsi Sulawesi Selatan sebelum 11 ditemukan terdampar di dua kawasan berasingan selepas terapung di laut selama tiga hari.
Menurut agensi mencari dan menyelamat tempatan, bot yang dinaiki mereka terbalik dalam cuaca buruk semasa musim hujan di Indonesia.
“Mereka terapung di laut selama tiga hari, mereka dibawa arus ke perairan Selayar,” kata pegawai kerajaan tempatan Andi Caco Ramas kepada AFP Rabu.
Andi berkata, 35 orang berada dilaporkan di atas bot itu dengan 22 hilang manakala agensi penyelamat menyatakan angka itu lebih tinggi iaitu 37 berada di atas bot dan 24 hilang.
Adalah perkara biasa di Indonesia untuk bilangan penumpang sebenar di atas bot berbeza daripada yang dinyatakan.
Pihak berkuasa menerima laporan mengenai kejadian itu Selasa lalu tetapi berkata cuaca buruk menghalang usaha mereka.
Bot nelayan itu dikatakan berlepas dari pelabuhan Jakarta Utara pada 3 Mac lalu ke Pulau Lombok di Provinsi Nusa Tenggara Barat.
Tentera laut dan sukarelawan penyelamat turut membantu dalam usaha mencari dan menyelamat.
“Pasukan secara bersama-sama akan menjalankan operasi mencari dan menyelamat dan mereka sudah berlepas pagi ini,” kata pegawai mencari dan menyelamat tempatan, Andi Raswan kepada AFP.
Katanya, pasukan penyelamat akan mengambil masa lima jam untuk sampai ke lokasi.
Mangsa yang terselamat ditemukan selepas nelayan tempatan melihat mereka dan memaklumkan kepada pihak berkuasa, lapor agensi berita negeri Antara.
Kemalangan marin adalah perkara biasa di Indonesia, sebuah kepulauan Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar.
Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera. -AFP










