GAZA CITY: Satu laman sesawang berkaitan Hamas memberi amaran kepada rakyat atau kumpulan Palestin supaya tidak bekerjasama dengan Israel untuk memberi perlindungan keselamatan kepada konvoi bantuan di Semenanjung Gaza.
Menurut laman sesawang keselamatan Hamas Al-Majd, mana-mana individu yang berbuat demikian akan dianggap bersubahat.
Amaran itu dibuat sebagai tindak balas kepada laporan media Israel bahawa rejim Zionis sedang mempertimbangkan memberi senjata kepada individu atau kumpulan Palestin tertentu untuk menyediakan perlindungan keselamatan bagi konvoi bantuan ke kawasan yang dikepung.
Ia dilihat sebagai sebahagian perancangan lebih luas untuk bantuan kemanusiaan selepas peperangan berakhir.
Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri Israel enggan mengulas mengenai laporan itu.
Laporan itu dikeluarkan kira-kira seminggu selepas puluhan rakyat Palestin terbunuh dalam tragedi orang ramai menyerbu konvoi trak bantuan memasuki utara Gaza, menyebabkan tentera Israel melepaskan tembakan, mengorbankan lebih 100 orang awam.
Jelas laman sesawang itu, percubaan rejim Zionis berkomunikasi dengan pemimpin atau rakyat Palestin untuk beroperasi di Gaza dianggap sebagai kerjasama langsung dan merupakan pengkhianatan terhadap negara.
“Usaha pendudukan Israel untuk menubuhkan badan bagi menguruskan Gaza adalah ‘konspirasi gagal’ yang tidak akan menjadi kenyataan,” jelas laman sesawang itu.
Ketenteraman awam semakin tegang di Gaza di bawah Hamas dan polis pula enggan menyediakan perlindungan keselamatan kepada konvoi kerana risiko menjadi sasaran tentera Israel.
Oleh itu, pengagihan makanan yang sangat diperlukan dan bekalan lain dengan selamat kini menjadi masalah utama.
Gaza mempunyai beberapa puak besar, bergabung dengan kumpulan politik termasuk pejuang Hamas dan Fatah iaitu kumpulan pesaing menguasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat yang diduduki.
Beberapa kumpulan terbabit dipercayai bersenjata lengkap dan tidak ada tanda-tanda bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Israel.
* KORIDOR MARITIM
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Basem Naim menyifatkan rancangan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mahu mewujudkan koridor maritim untuk menghantar kapal bantuan ke Gaza sebagai satu langkah yang positif.
Namun, beliau berpandangan bahawa dunia sepatutnya bertindak untuk menamatkan perang.
“Memastikan semua keperluan penduduk di Gaza dipenuhi bukanlah suatu nikmat daripada sesiapa, ia adalah hak dijamin di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa walaupun semasa perang berlaku.
“Jika pentadbiran AS serius untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan, jalan paling mudah adalah berhenti menggunakan kuasa veto untuk membolehkan gencatan senjata dicapai.
“Mereka perlu paksa Israel membuka semua laluan darat dan membenarkan kemasukan semua bantuan yang diperlukan,” katanya. – REUTERS











