TRIPOLI: Tiga pemimpin utama Libya menyatakan persetujuan mengenai keperluan untuk membentuk kerajaan baharu yang akan menyelia pilihan raya negara itu yang lama tertangguh.
Proses politik untuk menyelesaikan konflik selama lebih sedekad di Libya tergendala sejak pilihan raya dijadualkan pada Disember 2021 gagal dilaksanakan di tengah-tengah pertikaian mengenai kelayakan calon utama.
Lapor Middle East Monitor, tiga pemimpin berkenaan terdiri daripada Presiden kepada Majlis Presiden, Mohamed Menfi, ketua Majlis Negara Tinggi (HSC), Mohamed Takala dan Speaker Dewan Perwakilan Libya, Aguila Saleh.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga pemimpin itu turut menggesa Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Libya dan masyarakat antarabangsa menyokong cadangan mereka.
Malah, mereka turut bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk meneliti perkara-perkara yang kontroversi.
“Beberapa langkah dipersetujui dan kami percaya ini adalah permulaan yang sangat penting.
“Ia adalah keputusan yang memenuhi cita-cita rakyat Libya untuk mengadakan pilihan raya,” kata Mohamed Menfi selepas mesyuarat itu.
Tiga pemimpin berkenaan bertemu di Kaherah atas jemputan Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit.
Minggu lalu, Gabenor Bank Pusat Libya, Sadiq Kabir menulis kepada Parlimen memohon untuk meluluskan kerajaan bersatu yang baharu dan belanjawan negara.
Diplomasi antarabangsa untuk menyelesaikan konflik di Libya menumpukan pada usaha mendesak Pilihan Raya Parlimen dan presiden menggantikan institusi politik sementara.
Libya mencapai keamanan sejak pemberontakan yang disokong NATO pada 2011, dan ia berpecah pada 2014 antara puak timur dan barat, dengan pentadbiran saingan yang memerintah di setiap kawasan.










