Hormat golongan pakar bertauliah

Hormat golongan pakar bertauliah

RAIKAN perbezaan dengan menghormati satu sama lain terutamanya mereka yang berkepakaran dalam bidang tertentu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBELAKANGAN ini, sesetengah pengguna media sosial dengan mudahnya memberikan ulasan dan komen yang tidak beradab terhadap pendapat atau keputusan yang diambil oleh pihak berkepakaran tentang sesuatu isu.

Malah, platform media sosial seolahnya telah menjadi tempat kemunculan ramai pakar tidak bertauliah yang sering menyebarkan maklumat salah dan teori tidak tepat. Ini boleh membawa kepada kekeliruan, panik dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Sikap ini bukan sahaja tidak wajar, tetapi juga mampu merosakkan dan menjejaskan kepercayaan terhadap para pakar yang telah mengabdikan masa dan tenaga mereka untuk mendalami bidang tertentu.

Penting untuk masyarakat mengetahui bahawa keputusan yang dibuat oleh pihak berkepakaran tidaklah mudah. Ia melibatkan kajian mendalam, pengalaman bertahun-tahun dan melibatkan risiko yang besar.

Selain itu, ia mampu membentuk budaya negatif dalam masyarakat. Ini boleh memberi persepsi bahawa pengetahuan dan pengalaman tidak perlu dihargai, sekali gus membawa kepada hilang rasa hormat terhadap bidang profesional tertentu.

Setiap individu mempunyai hak untuk berbeza pendapat dan pandangan, namun, raikan perbezaan itu dengan menghormati satu sama lain terutamanya mereka yang berkepakaran dalam bidang tertentu.

Jika tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan, adalah lebih baik bertanya dengan hikmah dan mencari penjelasan yang lebih mendalam. Menghina atau mengkritik secara tidak berasas dan tanpa ilmu pengetahuan, hanya akan menimbulkan kekecohan dan ketegangan.

Hormat pengalaman dan pengetahuan pihak berkepakaran. Ambil kira faktor-faktor seperti latar belakang pendidikan, pengalaman kerja dan pengetahuan mendalam yang mereka miliki. Semua ini perlu dihargai dan dihormati.

Apabila berinteraksi dengan pihak berkepakaran di media sosial, lakukan dengan cara yang sopan dan beradab. Hindari menggunakan bahasa yang merendahkan atau menyerang secara peribadi. Sebaliknya, berkomunikasilah dengan penuh hormat dan kesopanan.

Jika ada kekeliruan atau ketidakfahaman terhadap pandangan atau keputusan pihak berkepakaran, jangan malu untuk bertanya. Namun, pastikan bahawa pertanyaan tersebut diajukan dengan bijaksana dan sopan, tanpa maksud untuk menyinggung atau merendahkan.

Guna media sosial sebagai platform untuk menggalakkan perbincangan yang sihat dan konstruktif. Beri ruang kepada pendapat yang berbeza dan hormati pendapat dari pelbagai sudut pandang, termasuk pendapat pihak berkepakaran.

Perkara paling kritikal yang perlu selalu dititik berat ketika menggunakan media sosial adalah elak memberi komen terhadap isu di luar bidang kepakaran.

Jika perlu memberikan kritikan terhadap keputusan atau pandangan pihak berkepakaran, lakukanlah dengan bijaksana dan berasaskan fakta. Hindar kritikan yang bersifat menjatuhkan atau merendahkan tanpa dasar yang kukuh.

Adalah penting untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak berkepakaran dalam bidang tertentu. Sudah tentu setiap individu tidak perlu bersetuju dengan setiap keputusan yang dibuat, namun adalah perlu untuk memberikan penghormatan kepada mereka yang berkepakaran yang telah meluangkan masa dan usaha untuk memahami dan mendalami bidang tersebut.

Hormati pendapat dan keputusan pihak berkepakaran, supaya persekitaran yang lebih positif dan beradab dalam dunia maya dapat dibina. Amalan ini juga membantu dalam memperkukuhkan kepercayaan dan rasa hormat terhadap para pakar dan profesional dalam pelbagai bidang. – UTUSAN

SITI NASARAH ISMAIL
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi
dan Pengajian Media UiTM Kampus
Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×