Permintaan BPT dijangka meningkat menjelang Ramadan - Utusan Malaysia

Permintaan BPT dijangka meningkat menjelang Ramadan

MOHD Anzara Azizan (dua dari kiri) melawat salah sebuah gerai yang beroperasi sewaktu Jualan Agro Madani Edisi Pra Ramadan di Pejabat FAMA Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menjangkakan permintaan Beras Putih Tempatan (BPT) di negeri ini akan meningkat menjelang bulan Ramadan ini.

Pengarahnya, Mohd Anzara Azizan berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan trend permintaan penggunaan dan penganjuran program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menggunakan BPT sebagai pemberian kepada penerima.

Katanya, buat masa ini, FAMA menerima sekitar 3,000 kampit BPT pada setiap minggu dan jumlah tersebut akan ditambah mengikut kes-kes tertentu atau berdasarkan permintaan pengguna.

“Contohnya seperti baru-baru ini sewaktu di Pesta Angin Timur 2024, FAMA telah memohon sebanyak 5,000 kampit beras untuk dipasarkan di sana dan semuanya licin dibeli pengguna.

“Jadi kita akan lihat kepada permintaan pengguna dan jika terdapat pertambahan maka FAMA akan membuat lebihan pesanan,” katanya selepas Jualan Agro Madani Edisi Pra Ramadan di Pejabat FAMA negeri, di sini, hari ini.

Pada program sama, Mohd Anzara turut berkesempatan mengedarkan pek buah kurma kepada pengunjung dan mengadakan lawatan meninjau gerai-gerai jualan di sana.

Mengulas mengenai bekalan sayur menjelang Ramadan, Mohd Anzara berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Bahagian Risikan Pasaran mendapati kemungkinan terdapat sedikit peningkatan pada harga disebabkan oleh faktor cuaca.

“Bagaimanapun bekalan sayur menjelang Ramadan ini masih mencukupi dan tiada sebarang masalah.

“Kenaikan sedikit harga itu mungkin melibatkan sayur-sayur yang tidak begitu banyak penggunaan contohnya seperti daun sup yang naik dari RM12 sekilo kepada RM14 sekilo. Namun kadarnya itu masih berada dalam julat normal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Anzara berkata, pada bulan Ramadan ini juga, FAMA juga akan menganjurkan bazar di tiga lokasi iaitu Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Pasar Tani Dataran MAIPs dan Pasar Tani Unimap, Ulu Pauh.

Tambahnya, FAMA sebelum ini turut menganjurkan Jualan Pra Ramadan di 12 lokasi membabitkan 68 orang usahawan dengan nilai jualan berjumlah RM140,000.

“Sehingga 10 Mac, sebanyak 233 program Jualan Agro Madani telah dilaksanakan di Perlis dengan nilai jualan sebanyak RM2.65 juta membabitkan penyertaan 1,476 usahawan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×